PAS tetap tidak setuju jika DAP berada dalam kerajaan, tegas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Timbalan Presiden PAS itu berkata, pendirian parti itu jelas dan istiqamah tidak menerima DAP dalam kerajaan Malaysia, lapor Malaysiakini.
“PAS tetap tidak setuju kalau DAP berada dalam kerajaan,” katanya kepada portal tersebut.
Mengenai tawaran oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadap pembangkang dalam ucapan khas semalam, Tuan Ibrahim berkata parti itu melihat ia jalan keluar untuk kerajaan menghadapi cabaran Covid-19 dan program vaksinasi.
“Bagi kerajaan, keutamaan ialah menyelesaikan proses vaksinasi, selamatkan rakyat daripada situasi mencabar ini sebab semua pihak terkesan,” katanya.
Sebelum ini PAS tegas menolak sebarang kerjasama dengan DAP, malah menamatkan kerjasama dengan parti itu dalam pakatan pembangkang beberapa tahun lalu dengan alasan tidak mahu lagi bekerjasama dengan DAP.
Untuk rekod, PAS pernah bersama DAP dalam gabungan Pakatan Rakyat sebelum ini.
Semalam, Muhyiddin menawarkan kerjasama rentas parti antara kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan parti di luar kerajaan sekiranya usul undi percaya terhadapnya diluluskan di Dewan Rakyat pada 7 September depan.
Menurutnya, cadangan itu dibuat bagi membolehkan kerajaan terus berfungsi ketika pandemik Covid-19 dengan sokongan bi-partisan di Parlimen. – Malaysiapost