‘Saya tak faham, rakyat tengah susah, di atas masih main politik’

AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee menyatakan rasa tidak faham dengan pemimpin politik yang terus bercakaran ketika rakyat dalam kesusahan akibat pandemik Covid-19.

Beliau yang juga Exco kerajaan Melaka berkata sepatutnya pemimpin politik dan wakil rakyat fokus turun padang membantu menyelesaikan masalah rakyat yang kian terdesak akibat penularan wabak tersebut.

“Hari ini dua orang kurang upaya (OKU) datang berjumpa dengan saya, kedua-duanya susah.

“Saya tak faham kenapa di atas masih lagi nak main politik, hari ini kita lihat rakyat makin susah. Ada yang hilang keluarga, hilang ibu, ayah, isteri… ada yang hilang kerja, ada yang mati gantung diri, ada yang terdampar di rumah.

“Tapi kenapa kita masih nak main politik lagi, itu saya tak faham,” katanya menerusi video yang dimuat naik di Facebook Aku YB ke Kau YB? hari ini.

Berikutan itu, Norhizam berkata beliau mengambil pendekatan tidak berpolitik, sebaliknya turun padang membantu dan menyelesaikan masalah rakyat sebaik mungkin.

“Kita tahu sekarang rakyat memang memerlukan prtolongan dan bantuan daripada YB, jadi kita turun padang buat kerja.

“Yang di atas apa nak berlaku, biar berlaku… saya tetap bersama rakyat. Saya tahu rakyat hari ini susah, saya kena tolong rakyat.

“Akhirnya esok rakyat akan undi kita balik, jadi pada saya selesaikan masalah rakyat, insya-Allah rakyat akan kenang budi kita dan angkat kita balik,” katanya lagi. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights