“SAYA perlukan rehat. Sukar menjalani kuarantin seorang diri di rumah,” kata pelakon Jue Aziz yang kini menjalani kuarantin di rumah selepas disahkan positif Covid-19.
Menurut Jue, dia memohon maaf kepada semua pihak kerana tidak dapat membalas mesej dan panggilan yang bertanya keadaan dirinya.
Pelakon ‘Hantu Kak Limah Balik Rumah’ itu memohon diberikan ruang untuk bersendirian dan berehat ketika menjalani kuarantin.
“Maaf. Buat masa ini saya tidak boleh membalas mesej atau menjawab telefon,” tulisnya di ruangan InstaStory.
Sementara itu, pemilik nama sebenar Zuliana Abdul Aziz, 38, itu turut mengucapkan terima kasih kepada peminat yang mendoakan kesihatan dirinya.
“Terima kasih kepada yang mendoakan kesihatan saya. Hanya Allah SWT yang dapat membalas doa-doa kalian. Maafkan saya dan doakan supaya saya kuat,” ujarnya.
Sebelum ini, Jue menerusi hantaran video di laman Instagram mengesahkan positif Covid-19 pada Khamis lalu.
Berkongsi mengenai simptom dialaminya, Jue berkata dia mengalami batuk, demam, sakit kepada, selesema dan hilang deria rasa.
Malah, Jue turut mengalami rasa menggigil sejuk sehingga ke tulang, menyebabkan dia mengalami sakit urat. – Malaysiapost