Tak hairan DAP sokong kerajaan – penganalisis politik

Dr Al-Azharri Siddiq Kamunri

PERUTUSAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin megenai kerjasama bi-partisan sebenarnya tidak mengejutkan.

Malah saya juga tidak akan terkejut jika beberapa Ahli Parlimen DAP khususnya, memilih untuk memberi sokongan kepada kerjasama ini demi negara bangsa Malaysia.

Saya mengkaji dan mengikuti perkembangan DAP sejak saya masih di bangku sekolah lagi. Buku yang menarik minat saya ketika itu ialah Malaysia:Crisis of Identity (1986) oleh Lim Kit Siang.

Saya juga mengkaji bibliografi beberapa panglima tentera, malah saya menemui sendiri mantan panglima tentera pertama negara kita semasa hayatnya pada tahun 2008.

Saya mahu mendapatkan bukti tambahan adakah benar DAP dalang semasa tragedi 13 Mei, 1969 atau anasir lain? Saya masih mengkaji kerana bibliografi mantan panglima tidak menyebut perkataan DAP.

Apabila generasi baharu mula memimpin DAP dan menunjukkan hasil yang menggalakkan dalam PRU 2008, saya dapati berlaku transisi pemikiran yang kuat kepada negara bangsa Malaysia.

Jatidiri nasional dan bangsa Malaysia nampak terserlah khususnya dalam politik nasional oleh generasi muda DAP ini. Mungkin sebab itu ramai anak muda Melayu menyertai DAP.

Semasa beberapa Ahli Parlimen DAP dilantik sebagai menteri dan timbalan menteri dalam kerajaan PH, mereka mula menunjukkan kematangan sebagai rakyat Malaysia. Mereka mula menyelami dan memahami kepentingan kerajaan yang kuat kepada sesebuah negara.

Apabila DAP tidak lagi menjadi ahli kerajaan PN pada tahun 2020, saya perhatikan tindakan politik mereka turut menunjukkan kematangan yang luar biasa.

Pada April baru-baru ini, Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini turut mengulas DAP hari ini bukannya DAP yang dulu. Hanya beberapa orang sahaja yang masih ekstrim dan membawa old school.

Generasi baru DAP lebih terbuka dalam negara bangsa majmuk Malaysia. YB Tony Pua dan YB Ong Kian Ming misalnya menunjukkan jatidiri negara bangsa yang mengagumkan. YB Dr Kelvin Yii Lee Wuen misalnya apabila berdiskusi mengenai negara bangsa Malaysia menunjukkan semangat patriotik yang unik, saya mengikutinya.

Oleh itu, saya tidak hairan jika beberapa Ahli Parlimen DAP akan menyokong kerjasama bi-partisan ini. Mereka menyokong kerana negara, national interest bukannya personal agenda.

Mereka berjaya mengenepikan kepentingan peribadi sebaliknya berjaya mengangkat kepentingan Negara di hadapan. Ini suatu suasana yang sangat menarik dalam politik DAP dan politik nasional.

Sebaliknya saya bimbang melihat parti lain kelihatan mundur ke belakang dalam memahami perspektif baru politik nasional.

Saya percaya cadangan melibatkan parti-parti pembangkang dalam berKerajaan adalah suatu idea besar. Indonesia sudah lama melakukannya, tetapi ia masih baru di Malaysia.

Konsep kerajaan minoriti juga masih baru di Malaysia, dan sebahagian besar rakyat kurang memahaminya kerana ianya tidak pernah berlaku dalam negara kita.

Di United Kingdom, Theresa May juga mengetuai Kerajaan minoriti pada tahun 2017. Kerajaan Theresa selamat dengan sokongan parti DUP di mana akhirnya Kerajaan UK dapat berfungsi seperti biasa.

Di Australia pernah ada kerajaan minoriti dengan kelebihan satu kerusi sahaja. Di New Zealand, pernah enam kali kerajaan minoriti, malah pernah lapan kali mengalami hang government.

Akhir kata, tahniah saya ucapkan kepada Perdana Menteri kerana berjaya menemui idea baru Kerjasama bi-partisan. Kepada ahli-ahli parlimen pembangkang, saya turut berbangga dengan keberanian anda menyahut seruan nasional ini. Sebenarnya, inilah rakyat mahukan, berhenti berpolitik dan fokus membantu rakyat di lapangan.


Penulis adalah lulusan sains politik dan berpengalaman menyampaikan ceramah dasar-dasar kerajaan sejak 20 tahun lalu dalam bidang keselamatan negara, pembinaan negara bangsa dan patriotisme.

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights