TENAGA Nasional Berhad (TNB) menerusi Yayasan Tenaga Nasional (YTN) memperuntukkan RM120 juta bagi tajaan biasiswa dan tajaan pinjaman pendidikan boleh ubah kepada 331 pelajar yang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi tahun ini.
Pengerusinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata dari keseluruhan jumlah tersebut TNB memperuntukkan RM35 juta dalam bentuk biasiswa kepada 120 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 bagi melanjutkan pengajian dalam jurusan kejuruteraan, data sains dan analitik, sains komputer, perakaunan dan pengajian perniagaan.
Beliau berkata, 100 penerima biasiswa YTN itu akan melanjutkan pengajian di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) manakala baki 20 pelajar lagi melanjutkan pengajian di universiti luar negara.
“Pelajar-pelajar ini telah membuktikan mereka mampu mendapat keputusan cemerlang meskipun terpaksa berdepan situasi pembelajaran dalam talian berbanding secara konvensional iaitu bersemuka lantaran penularan Covid-19.
“Penerima biasiswa YTN dipilih berdasarkan faktor akademik, kualiti kepimpinan dan penglibatan aktif dalam kokurikulum.
“Pelajar yang terpilih juga mempunyai peluang untuk menjadi warga kerja TNB apabila tamat pengajian kelak dan diharap dapat menjadi pemimpin pelapis untuk menerajui TNB pada masa depan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mahdzir berkata, tajaan biasiswa itu merupakan komitmen TNB untuk terus bersama rakyat, selain membantu usaha meningkatkan modal insan berkualiti untuk pertumbuhan negara di masa akan datang.
Sementara itu, katanya, seramai 211 pelajar dengan peruntukan RM85 juta pula terpilih menerima pinjaman pendidikan boleh ubah untuk mengikuti pengajian di UNITEN dan universiti awam bagi mengikuti pengajian Diploma, Program Asas dan Ijazah Sarjana Muda. – Malaysiapost