SELAIN desas-desus Tan Sri Muhyiddin Yassin akan ‘mengalah’ dan meletak jawatan sebagai Perdana Menteri esok, satu lagi khabar angin yang kuat bertiup adalah pembentukan jajaran politik baharu antara Perikatan Nasional (PN) dan DAP.
Perkara itu susulan tawaran dibuat Muhyiddin termasuk kerjasama rentas parti atau bi-partisan sekiranya Ahli Parlimen pembangkang memberi undi percaya kepadanya.
Tawaran itu dilihat bertujuan untuk menarik perhatian Ahli Parlimen DAP bagi memberi sokongan dalam usaha mengekalkan Ahli Parlimen Pagoh berkenaan sebagai Perdana Menteri.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata ironinya sebelum ini PN sering membuat propaganda menuduh Umno merancang mewujudkan jajaran baharu, namun akhirnya terbongkar mereka yang berunding untuk bergabung dengan DAP.
“Pihak sebelah sana (PN) yang asyik buat propaganda tuduh Umno buat jajaran baharu dengan DAP, sebenarnya adalah pihak yang berunding secara rahsia dengan DAP untuk bergabung dan meminta nyawa.
“Namun reaksi dari penyokong DAP, parti-parti komponen kerajaan PN dan masyarakat umum terhadap tawaran Perdana Menteri hari itu telah gagalkan perancangan rahsia ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Sementara itu Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, pula berpandangan tawaran terhadap DAP itu sudah dua kali dibuat secara terang-terangan.
“Pertama, Rabu minggu lepas, selain dalam perutusan khas menyatakan beliau (Muhyiddin) masih ada majoriti, beliau juga menyatakan ketegasan tidak melayani tuntutan orang yang bermasalah dalam mahkamah.
“DAP suka ni. Ada rakan Umno pun macam suka juga. Kedua, Jumaat baru ini. Juga menyebut tak mahu kleptokrat kembali berkuasa. DAP memang suka ini,” katanya.
Beliau berkata, umum mengetahui kepada siapa yang dimaksudkan sebagai kleptokrat itu dan bukannya kepada mana-mana tokoh DAP, walaupun ada antaranya yang ada kes mahkamah.
“Cerita besar yang tersebar rundingan dah dibuat agar DAP jadi penyelamat kerajaan pimpinan Pagoh (Muhyiddin). Sebab itu kena sebut tujuh tawaran, supaya DAP mudah bercerita kepada pengikutnya bahawa ini tawaran baik dan sukar ditolak.
“Mereka ada sejarah sama-sama buat manifesto dulu. Tipu pun tak apa, asal rakyat boleh terima ketika itu,” katanya.
Ahmad Shahbery berkata, ramai mungkin akan berfikir ‘drama’ politik akan berakhir, namun sebenarnya pelbagai kemungkinan boleh berlaku.
“Ramai fikir, esok episod terakhir season kali ini. Tak semestinya begitu. Plot boleh pusing. Cerita boleh dipanjangkan. Selagi ada penonton,” katanya.
Pada 13 Ogos lalu, dalam ucapan khasnya, Muhyiddin menawarkan kerjasama rentas parti dengan mana-mana Ahli Parlimen selain turut menawarkan Ketua Pembangkang saraan dan kemudahan setara dengan seorang Menteri Kanan.
Menurutnya, perkara itu adalah sebahagian daripada tujuh cadangan yang dikemukakan oleh kerajaan sekiranya usul undi percaya kepada Perdana Menteri berjaya diluluskan di Dewan Rakyat dengan majoriti melebihi 2/3 Ahli Parlimen. – Malaysiapost