Bersatu akan melobi PM baharu?

KINI timbul persoalan sekiranya benar desas-desus Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan meletak jawatan sebagai Perdana Menteri esok, maka siapa yang akan dilantik sebagai Perdana Menteri Interim.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata jika keadaan itu berlaku sudah tentu Bersatu akan terkesan besar dengan keputusan Muhyiddin.

Menurutnya, Ahli Parlimen Pagoh itu tidak dapat melantik pemangku Perdana Menteri daripada partinya atau Perikatan Nasional (PN).

“Bersatu hilang tempat bersandar yang kukuh untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Apatah lagi kebanyakan Ahi Parlimen Bersatu datang dari ‘kluster katak’.

“Apakah dengan baki 100 Ahli Parlimen itu, PN turut melobi supaya Perdana Menteri ‘caretaker’ datang dari blok mereka?” soalnya.

Beliau bagaimanapun yakin dengan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong untuk menggunakan budi bicara baginda melantik Perdana Menteri ‘caretaker’ di bawah Perkara 43(2) dan 40(2).

Mohd Puad, berpendapat berita mengenai peletakan jawatan itu bukan lagi khabar angin dan tidak boleh disangkal begitu sahaja.

“Esok (Isnin) Muhyiddin akan meletak jawatan sebagai Perdana Menteri. Ia bukan lagi khabar angin. Tidak boleh ditolak mentah-mentah.

“Pemimpin Bersatu tidak tahu surat letak jawatan telah dihantar. Sama juga mereka tidak tahu Muhyiddin kemuka tawaran baru kepada DAP,” katanya.

Menurutnya, peletakan jawatan itu akan menyebabkan kerajaan PN turut tumbang dan menteri Kabinet juga terbubar.

“Akhirnya Muhyiddin mengalah. Dia bukan sahaja gagal mentadbir negara tetaoi gagal dalam usaha terakhir untuk kekal berkuasa,” katanya.

Malaysiapost semalam melaporkan hayat kerajaan PN dijangka akan berakhir Isnin ini apabila Muhyiddin dikatakan “mengaku kalah” dan menerima hakikat telah hilang majoriti sokongan Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

Menurut sumber di Putrajaya, Muhyiddin mengadakan pertemuan dengan pemimpin parti PN dan menteri Kabinet petang semalam bagi menyatakan hasratnya untuk melepaskan jawatan.

Ia selepas tujuh tawaran yang dikemukakannya semalam bagi menyambung hayat kerajaan PN ditolak oleh pembangkang. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights