PENURUNAN kadar kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital bagi semua kumpulan umur ketika ini, tidak mungkin dapat dicapai tanpa perancangan rapi dan pelaksanaan strategi kukuh oleh kerajaan, serta kerjasama dan sokongan rakyat.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ia antara lain disebabkan Operasi Lonjakan Kapasiti di Lembah Klang bagi mempercepat vaksinasi terutama ke atas populasi di Kuala Lumpur dan Selangor.
“Saya pernah nyatakan dahulu, dan saya akan katakan sekali lagi. Rakyat Malaysia, anda semua adalah insan yang hebat. Anda semua begitu tabah dan sabar mengharungi pandemik ini walaupun pada hakikatnya amat sukar untuk dilakukan.
“Insya-Allah, data-data yang dikongsikan ini menunjukkan perkembangan yang baik.
“Segala usaha kerajaan Perikatan Nasional (PN) semakin hampir dengan kejayaan dan insya-Allah kita pasti akan berjaya keluar dari cengkaman pandemik ini dengan teratur dan selamat melalui Pelan Pemulihan Negara (PPN),” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Muhyiddin berkata, strategi kerajaan jelas, iaitu lebih ramai divaksinasi dengan lengkap, lebih ramai penduduk dilindungi dari jangkitan teruk, lebih kurang beban kepada sistem kesihatan awam dan lebih banyak sektor ekonomi dan sosial dibuka supaya negara kembali berperingkat-peringkat ke kehidupan norma baharu.
“Apa yang lebih penting, jangan sesekali kita berputus asa dengan cabaran ini dan lupa bahawa Covid-19 adalah musuh utama kita semua,” katanya.
Perdana Menteri menjelaskan, usaha gigih dan kerjasama semua pihak terutama Kementerian Kesihatan (KKM), Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF), petugas barisan hadapan keselamatan dan sukarelawan di pusat pemberian vaksin (PPV), kadar pemberian vaksin lengkap di Lembah Klang mencapai 64.7 peratus.
“Manakala kadar pemberian vaksin untuk dos pertama sahaja telah pun mencecah 104.2 peratus.
“Rentetan pencapaian ini, Ketua Pengarah Kesihatan menyatakan KKM telah menyaksikan kadar kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital bagi semua kumpulan umur mula menunjukkan penurunan,” katanya.
Muhyiddin berkata, perkembangan awal yang positif daripada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dapat dilihat di beberapa negeri iaitu di Labuan, Sarawak, Negeri Sembilan dan Lembah Klang (Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya).
Katanya, Data KKM menunjukkan setakat ini, emua negeri tersebut menunjukkan penurunan bilangan kes bagi kategori 3 hingga 5 apabila liputan dos lengkap vaksin bagi populasi dewasa (18 tahun dan ke atas) telah melebihi 40 peratus.
“Semalam buat pertama kalinya, tiada kes jangkitan baharu dilaporkan WP Labuan. Sehingga 14 Ogos 2021, kadar vaksinasi lengkap di Labuan mencapai 88.1 peratus.
“Ini perkembangan sangat baik dan diharapkan dapat dilihat di negeri-negeri lain juga, insya-Allah,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata data Crisis Preparedness Response Centre (CPRC) bagi hospital menunjukkan situasi Jabatan Kecemasan di Lembah Klang juga bertambah baik.
“Contohnya purata pesakit yang menunggu di Jabatan Kecemasan untuk ditempatkan ke wad pesakit bagi hospital KKM di negeri-negeri Lembah Klang telah menurun.
“Pada 31 Julai 2021, purata sehari pesakit yang menunggu di Jabatan Kecemasan adalah 909 orang. Alhamdulillah, hasil perancangan rapi kerajaan dan pelaksanaan strategi oleh KKM serta kesan vaksinasi, purata sehari pesakit yang menunggu menurun kepada 239 orang pada 13 Ogos 2021.
“Saya amat berharap agar trend penurunan ini akan berterusan dan dapat mengurangkan beban kes Covid-19 yang serius serta kemasukan pesakit ke Unit Rawatan Rapi (ICU),” katanya.
Bagaimanapun Perdana Menteri berkata kapasiti pesakit di ICU masih lagi penuh memandangkan rawatan pesakit jauh lebih rumit dan mengambil tempoh lebih panjang berbanding di wad biasa. – Malaysiapost