Gerakan ‘melobi’ jawatan PM Interim sedang berlaku?

SITUASI politik negara semakin hangat bukan sahaja desas-desus mengenai Tan Sri Muhyiddin Yassin akan meletak jawatan sebagai Perdana Menteri esok, malah gerakan ‘melobi’ calon Perdana Menteri Interim dikatakan sedang giat dijalankan.

Khabar angin terutama yang mula tular dalam kalangan media dan tersebar di media sosial kuat mengatakan terdapat usaha untuk menjadikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri yang baharu.

Selain itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, yang juga Setiausaha Agung Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) pula sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Gerakan itu difahamkan dirancang di sebuah hotel di ibu negara termasuk mengumpulkan Akuan Bersumpah (SD) daripada Ahli-Ahli Parlimen untuk menjayakan usaha berkenaan.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil ketika ditanya mengenai perkara itu berpendapat ia perkembangan yang agak mengejutkan, namun percaya ia bukan langkah yang baik untuk penyelesaian krisis politik negara ketika ini.

“Kemelut yang berlaku berpunca daripada kegagalan kerajaan PN termasuklah Jemaah Menterinya.

“Jika Perdana Menteri Interim dipilih daripada Kabinet yang gagal, saya percaya negara tidak akan keluar daripada krisis yang dihadapi ketika ini,” katanya ketika dihubungi Malaysiapost.

Menurutnya, perkara sama akan berulang jika pemimpin utama negara dipilih daripada anggota Kabinet yang dikatakan gagal dalam menangani krisis pandemik Covid-19 dan ekonomi.

“Kalau pemimpin dipilih daripada anggota Kabinet sedia ada, bagi saya ini hanya akan meneruskan kegagalan,” katanya.

Terdahulu Portal The Malaysian Insight dilaporkan memetik sumber sebagai berkata, Muhyiddin akan mempersembahkan dua nama calon Perdana Menteri yang baharu, semasa menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara esok.

Difahamkan dua nama berkenaan adalah Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera dan Menteri Kanan Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, yang merupakan Ahli Parlimen Sembrong.

Bagaimanapun difahamkan, majoriti pimpinan kanan dalam Bersatu tidak bersetuju dengan cadangan berkenaan, dan masih merasakan Bersatu perlu menerajui kerajaan baharu. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights