Harap Malaysia capai kebebasan seperti UK – Najib

Harap Malaysia capai kebebasan seperti UK – Najib

DATUK Seri Najib Razak, berharap Malaysia dapat menjadi seperti United Kingdom (UK) yang walaupun kes baharu Covid-19 meningkat, tiada sebarang sekatan dikenakan kerana telah lama mencapai kadar vaksinasi yang tinggi.

Menurut bekas Perdana Menteri itu, walaupun kes baharu di UK naik, namun kadar kematian baharu akibat Covid-19 masih terkawal dan rakyatnya bebas bergerak.

Beliau memberi contoh Liga Perdana Inggeris musim 2021/2022 yang sudah bermula dengan stadium dipenuhi penyokong tanpa prosedur operasi standard (SOP).

“Berita Covid United Kingdom. Stadium penuh, SOP tak ada.

“Kes baharu UK sebenarnya sudah naik semula sebab negara itu dah lama longgarkan hampir semua sekatan setelah mencapai kadar vaksinasi yang sangat tinggi sejak Mac lalu,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Najib yang juga penyokong tegar pasukan Manchester United, berharap rakyat Malaysia juga akan mencapai kebebasan seperti itu tak lama lagi.

“Sebab itu, amat penting bagi semua penduduk Malaysia termasuk pekerja asing divaksin,” katanya yang turut berkongsi tangkap layar gambar kemenangan pasukan Manchester United malam tadi.

Manchester United menumpaskan Leeds United 5-1 di laman sendiri dengan anggaran 73,000 penonton yang memenuhi Stadium Old Trafford. – Malaysiapost

Komen