Kekalkan PN bukan jalan keluar selesai masalah negara

MENGEKALKAN kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang telah gagal bukanlah jalan keluar untuk masalah yang dihadapi negara, kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Ini kerana, Ahli Parlimen Bagan itu berkata masalah sebenar adalah seluruh kerajaan PN itu sendiri.

Sehubungan itu beliau berkata Pakatan Harapan (PH) bersama blok pembangkang terdiri 105 Ahli Parlimen tidak boleh membuang masa.

Sebaliknya Guan Eng menegaskan, mereka perlu menggunakan pendekatan ‘khemah besar’ untuk menuntut kembali mandat sebagai kerajaan yang dipilih mengikut Perlembagaan oleh rakyat.

“Hanya bermula dengan 105 Ahli Parlimen pembangkang sebagai asas, Ahli Parlimen PH Plus dapat menuntut kembali mandat pilihan raya 2018 yang telah dirompak oleh kerajaan pintu belakang.

“Kedua-dua Datuk Seri Anwar Ibrahim (Presiden PKR) dan Datuk Seri Shafie Apdal (Presiden Warisan) memikul tanggungjawab untuk bekerjasama bagi mengembalikan mandat rakyat.

“Perlu ada alternatif jelas terhadap kerajaan PN yang telah gagal yang menyebabkan rekod tertinggi jangkitan dan kematian serta kegagalan mengeluarkan ekonomi daripada kemelesetan ekonomi,” katanya.

Terdahulu hari ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan akan menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara esok.

Perkara itu disahkan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.

Mohd Redzuan yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) berkata hasrat itu dimaklumkan Muhyiddin dalam pertemuan dengan Ahli Parlimen Bersatu di Publika, ibu negara, pagi tadi. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights