NAIB Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengakui keputusan menarik sokongan dan keluar dari Perikatan Nasional (PN), bukan sahaja memberi kesan langsung kepada PN sebagai kerajaan dan keabsahan Tan Sri Muhyiddin Yasin sebagai Perdana Menteri, malah Umno sendiri berhadapan pelbagai cabaran kesan keputusan itu.
Beliau berkata pastinya keputusan sebesar dan sepenting itu mempunyai risiko dan geloranya.
Sudah lumrah politik, katanya, pasti ada badai dan gelombang namun yang mustahak adalah cara berhadapan dengan segala cabaran tersebut.
“Namun seperti yang telah saya tegaskan berulang kali, perjuangan, kekuatan dan pendirian parti adalah lebih besar dan lebih utama dari segala kedudukan dan jawatan mana-mana individu dan personaliti.
“Umno mesti hadir dan berdiri sebagai sebuah ketumbukan orang Melayu yang mempunyai kebersamaan tekad dan kebulatan hati. Bukannya berpecah-pecah dan berlainan haluan.
“Lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang yang sangat jelas bahawa Perdana Menteri dan PN sudah tidak berupaya untuk mempertahankan kerajaan yang ada,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Sehubungan itu, Mohamed Khaled berkata Umno mesti kembali bersatu hati sambil menegaskan semua Ahli Parlimen Umno dalam PN, ruang dan tempat mereka dalam parti tidak pernah hilang.
“Perjalanan kita semua dalam Umno telah sama-sama mendewasakan. Persahabatan mesti kekal dan abadi.
“Kita jangan sampai berkerat rotan berpatah arang. Mereka yang berbeza pandangan dengan kita bukan musuh. Ingat gigi dengan lidah, ada masa tergigit jua.
“Yang mesti kita ingat, PN itu tidak lebih sekadar ruang untuk Umno menyumbang kepada bangsa dan negara. Kita menyokongnya apabila wujud kebaikan yang jelas kepada bangsa dan negara. Kita sanggah saat ia gagal dan sudah tidak berada di landasan betul,” katanya.
Katanya, Umno tidak hidup hanya untuk hari ini sebaliknya melihat masa depan dan atas dasar itu, Umno akan segera meninggalkan episod ini untuk membuka lembaran baharu yang lebih penting.
“Buat masa sekarang, keutamaan Umno adalah untuk memberikan sentuhan kepada penyelesaian krisis nasional dan kemenangan dalam PRU akan datang.
“Untuk melakukan perkara ini, Umno mesti segera bersatu hati dan mengeratkan semula perpaduannya di semua peringkat sama ada ahli, pemimpin apatah lagi Ahli-ahli Parlimen.
“Kita mesti kembali menjadi parti yang kuat, bersatu dan memfokuskan kepada perkara yang betul,” katanya. – Malaysiapost