PEMUDA Umno kecewa apabila 10 tuntutan rakyat yang dikemukakan kepada kerajaan bagi membantu rakyat yang terkesan akibat Covid-19 sehingga kini tiada jawapan dan tindakan.
Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata setakat ini hanya jawapan Bank Negara yang mempertahankan bank-bank untuk meneruskan caj faedah terakru kepada moratarium yang ditawarkan.
Menurutnya, jawapan itu juga tidak berpihak kepada rakyat yang semakin terkesan akibat penutupan penuh atau total lockdown yang dilihat hanyalah langkah sia-sia.
“Tiada lagi jawapan balas kerajaan terhadap semua tuntutan rakyat. Rakyat bukan saja-saja tuntut!
“Rakyat sudah dikurung secara sia-sia atas nama total lockdown selama tiga bulan. Tak dapat berniaga, tiada pendapatan, tak dapat buat kerja lebih masa (OT) macam kebiasaan, tak dapat gaji yang tetap.
“Tanggungan bulanan meningkat… simpanan sudah licin, komitmen tetap kena tanggung, hutang banyak tertunggak,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Asyraf Wajdi berkata, Menteri Kewangan dan Perdana Menteri yang kini dikatakan sudah tiada keabsahan atau majoriti mentadbir negara, hanya sibuk mencatur kuasa.
“Rakyat cuma mahu keluarkan wang mereka sendiri daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
“Rakyat mahu i-Citra keluar sekali gus RM10,000 bukan macam sekarang RM1,000 setiap bulan dan dihadkan RM5,000 sahaja,” katanya. – Malaysiapost