KKM hargai peranan NGO kesihatan jayakan PICK
LEBIH 10,000 dos vaksin Covid-19 diberikan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kesihatan sejak 12 Julai lalu, kata Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Beliau berkata, jumlah itu termasuk kira-kira pemberian 2,800 dos suntikan melalui lawatan ke rumah iaitu 1,300 dos kepada pesakit dan 1,500 dos pada ahli keluarga atau ‘caretaker’, sekurang-kurangnya bagi dos pertama.
“Pagi tadi saya berpeluang menyertai Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) dalam lawatan rumah ke rumah sekitar Sungai Buloh dan Batu Caves untuk Program Perkhidmatan Jangkau Luar (outreach) Vaksinasi Komuniti di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
“Penglibatan NGO Kesihatan di bawah PICK adalah diselaraskan oleh ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth) di mana pendaftaran secara rasminya dibuka pada 12 Julai 2021 lalu,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Menurutnya, sehingga kini terdapat enam NGO yang aktif menjalankan vaksinasi di seluruh negara iaitu PBSM; National Cancer Society Malaysia (NCSM); MERCY Malaysia; IMAM Response and Relief Team (IMARET); One Hope Charity; dan Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA).
Dr Noor Hisham berkata, penglibatan NGO Kesihatan sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) NGO amat penting bagi meluaskan capaian dan memaksimumkan vaksinasi kepada golongan terlantar (bedridden), kurang upaya, gelandangan dan penduduk di kawasan pedalaman serta masyarakat Orang Asli.
“Walaupun jumlah ini kecil, tetapi penglibatan NGO Kesihatan amat penting bagi melengkapi capaian vaksinasi golongan yang memerlukan dan di kawasan pedalaman.
“Bagi pihak Kementerian Kesihatan (KKM), saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada NGO Kesihatan yang terlibat di dalam PICK.
“Semoga segala usaha ini akan membantu negara mencapai perlindungan kepada semua rakyat Malaysia dengan memvaksin seramai penduduk yang layak,” ujarnya.
Beliau juga amat mengalu-alukan pendaftaran NGO Kesihatan sebagai PPVNGO sepanjang pelaksanaan PICK. – Malaysiapost