PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pagi ini mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu.
Mesyuarat yang diadakan di Publika di ibu negara, dipercayai bermula sekitar jam 9.30 pagi tadi.
Ia berlangsung ketika spekulasi Muhyiddin bakal menghadap Yang di-Pertuan Agong esok, sebelum dijangka membuat pengumuman penting mengenai kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri.
Mesyuarat itu dipercayai membincangkan perkembangan semasa kerajaan Perikatan Nasional (PN) serta kedudukan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.
Esok Muhyiddin dilaporkan akan menghadap Yang di-Pertuan Agong sebelum membuat pengumuman mengenai kedudukannya sebagai Perdana Menteri serta kerajaan PN pimpinannya.
Pagi semalam Muhyiddin dilaporkan mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin PN, Umno serta beberapa menteri bagi memaklumkan mengenai hasrat dan rancangannya selepas ini.
Pada sebelah petang pula beliau bertemu pemimpin utama Bersatu di kediamannya di Bukit Damansara di ibu negara.
Kelmarin, Muhyiddin memberi gambaran kerajaan pimpinannya telah hilang majoriti apabila menawarkan kerjasama rentas parti antara dengan parti di luar kerajaan sekiranya usul undi percaya terhadapnya diluluskan di Dewan Rakyat bulan depan.
Bagaimanapun, ia ditolak majoriti Ahli Parlimen pembangkang dari Pakatan Harapan (PH), Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) serta Ahli Parlimen Umno yang sebelum ini menarik sokongan kepada beliau. – Malaysiapost