Pemimpin PH boleh runding dengan seteru politik – Guan Eng

PAKATAN Harapan (PH) membenarkan mana-mana pemimpin dalam gabungan itu untuk berbincang dan bercakap dengan seteru politik mereka bagi meleraikan kemelut politik negara ketika ini.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata tiga pemimpin teratas dalam PH, iaitu dari PKR, DAP dan Amanah perlu saling berunding sesama mereka sebelum berbuat demikian.

Beliau berkata, ia susulan laporan media berbaur anti-DAP yang cuba menyeleweng berita Ahli Parlimen DAP Tony Pua dan Ong Kian Ming mengadakan perbincangan dengan menteri Perikatan Nasional (PN).

“Saya ingin menyatakan keputusan Majlis Presiden PH yang membenarkan semua pemimpin bebas untuk berbincang dan bercakap dengan pihak lawan mengenai keadaan politik.

“Kecuali tiga pemimpin teratas dalam PH yang perlu saling berunding sesama mereka sebelum berbuat sedemikian.

“Selain tiga pemimpin teratas daripada DAP, PKR dan Amanah, ramai Ahli Parlimen dan pemimpin daripada ketiga-tiga parti dalam PH secara sendiri telah mengadakan banyak perbincangan dengan seteru politik,” katanya menerusi kenyataan.

Bagaimanapun Guan Eng berkata perbincangan seperti itu tertakluk kepada persetujuan kepemimpinan parti masing-masing dan Majlis Presiden PH bagi ia dapat dilaksanakan.

Pada masa sama, beliau mengingatkan ahli DAP supaya tidak membiarkan laporan media berbaur anti-DAP memberi gambaran buruk terhadap parti itu sehingga berlaku pecah belah. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights