PN sendiri tertubuh angkara lompat parti – Shafie

TAWARAN Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak menggambarkan keikhlasan, kata Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Ini kerana katanya, kerajaan Perikatan Nasional (PN) tertubuh apabila beberapa Ahli Parlimen daripada Pakatan Harapan (PH) Plus melompat parti melalui Langkah Sheraton pada Februari 2020.

“Begitu juga di Sabah, di mana PN terlibat dalam rancangan Tan Sri Musa Aman untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Warisan tahun lalu dengan cara “memikat” dan menggalakkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kerajaan melompat ke pihak mereka.

“Kemunculan Musa sebaik sahaja selepas Peguam Negara menggugurkan 40 pertuduhan pengubahan wang haram terhadapnya,” katanya dalam temubual bersama Astro Awani malam tadi.

Mengenai tawaran Undi 18, Mohd Shafie berkata ia telah diluluskan tetapi belum dilaksanakan lagi kerana dihalang oleh kerajaan PN.

Kelmarin Muhyiddin berkata suatu Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan untuk menghadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal dan Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti akan dibentangkan di Parlimen.

Perdana Menteri berkata kedua-dua rang undang-undang itu akan dibentangkan jika kerajaan berjaya mendapatkan sokongan bi-partisan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara melebihi majoriti dua pertiga.

Kerajaan juga bersetuju untuk melaksanakan Undi 18 tanpa menunggu pelaksanaan pendaftaran automatik yang akan mengambil masa.

Sementara itu, Mohd Shaid berkata Muhyiddin harus mematuhi dan menghormati proses undang-undang mengikut Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, ia jelas menyatakan, jika Perdana Menteri hilang sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat, kecuali atas permintaannya kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membubar Parlimen, Perdana Menteri hendaklah meletak jawatan.

Justeru, beliau berkata mengikut Perkara 43(1) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong boleh menggunakan budi bicara baginda untuk melantik seseorang sebagai Perdana Menteri.

“Maka, Muhyiddin tidak mempunyai peranan menentukan siapa yang layak untuk menggantikannya dan pihak mana yang mempunyai sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

“Keputusan untuk menentukan dan melantik Perdana Menteri baharu terletak kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights