Terus bekerja walaupun saat terakhir perkhidmatan – Annuar Musa

MENTERI Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa seolah-olah membayangkan desas-desus mengenai kejatuhan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan meletak jawatan esok, adalah benar.

Ia berdasarkan perkongsian terbaharu di laman Facebooknya seperti menggambarkan hari ini adalah hari terakhir beliau akan berkhidmat sebagai menteri Kabinet dan akan menjalankan tugas sebaik mungkin.

“Walaupun ke saat paling akhir perkhidmatan, hatta nyawa atau kesihatan, kita memilih untuk memikul amanah ini sedaya mungkin, kerana kita belum menang, tetapi insya-Allah kita tidak gagal,” tulisnya.

Menurutnya, walaupun keadaan politik negara ketika ini sedang hangat dengan pelbagai spekulasi, beliau memilih untuk terus melaksanakan amanahnya dan terus berkhidmat demi rakyat.

“Hari minggu bagi sesetengah orang adalah hari rehat, namun hari ini jadual saya penuh seperti biasa.

“Sudah lebih setahun, tiada Ahad atau Sabtu, tiada cuti, tiada waktu pejabat… Covid-19 mencabar kita dan kita menyahutnya dengan segala kudrat yang ada.

“Hari ini di tengah-tengah gelombang politik yang bergelora, spekulasi pelbagai rupa, saya memilih untuk berkerja, berkerja dan berkerja. Jika hanya sekerat nyawa yang boleh diselamatkan, kita bantu menyelamatkannya,” katanya.

Beliau berkata, selepas Labuan berjaya menangani kes Covid-19, Kuala Lumpur pula mula menampakkan trend sama dengan kadar penduduk dewasa divaksinasi dua dos kini 82 peratus, manakala di Putrajaya 73 peratus.

“Jumlah kes kritikal kalangan warganegara juga mula berubah, Alhamdulillah. Hari ini saya di Rumah Prihatin, program vaksinasi diteruskan, Jejak Prihatin, bantuan Dapur Prihatin dan lain-lain juga diteruskan.

“Selepas solat Zohor, insya-Allah kita lakukan tahlil secara maya khas untuk mangsa Covid-19 terutamanya staf Kementerian Wilayah Persekutuan dan agensi lain yang terkorban.

“Juga doa selamat untuk petugas barisan hadapan termasuk petugas dan sukarelawan PriVo yang dijangkiti dan sedang di rawat/kuarantin,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights