USAHA terakhir untuk mempertahankan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sedang rancak berjalan ketika ini yang didakwa melibatkan Ahli Parlimen Parti Warisan Sabah (Warisan).
Menurut sumber, usaha memancing lapan Ahli Parlimen Warisan dan beberapa Ahli Parlimen pembangkang untuk menyertai PN itu adalah bagi menyokong Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri.
Kata sumber itu, usaha itu diketuai MIC sebagai ‘orang tengah’ untuk memujuk Warisan yang dipimpin oleh Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Difahamkan, usaha itu masih lagi berjalan namun buntu kerana Warisan meletakkan syarat bahawa Mohd Shafie mestilah diangkat sebagai Perdana Menteri.
Ketika ini PN dipercayai memiliki 100 Ahli Parlimen dan memerlukan 11 lagi untuk mendapat majoriti mudah bagi menguasai tampuk pemerintahan negara.
Difahamkan usaha mengumpul lebih 110 akuan sumpah (SD) Ahli Parlimen sedang giat dijalankan untuk dipersembahkan kepada Yang di Pertuan Agong sebelum Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan, esok.
Muhyiddin yang berhadapan krisis kepimpinan susulan hilang sokongan majoriti Ahli Parlimen difahamkan akan menghadap Yang di Pertuan Agong di Istana Negara esok untuk mempersembahkan surat peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri.
Perkara itu disahkan oleh Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.
Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) berkata hasrat itu dimaklumkan Muhyiddin dalam pertemuan dengan Ahli Parlimen Bersatu di Publika, ibu negara, pagi tadi. – Malaysiapost