PELAKON Yana Samsudin memaklumkan 12 ahli keluarganya disahkan positif virus Covid-19.
Pemilik nama sebenar Norliana Samsudin itu menerusi hantaran dalam InstaStory memberitahu dua orang kakak kandungnya juga antara yang dijangkiti virus tersebut.
“Dukacita dimaklumkan ahli keluarga saya iaitu Kak Yati dan Kak Liza disahkan positif Covid-19. 12 orang semuanya termasuk anak-anak.
“Sesiapa yang dah berhubung secara rapat boleh membuat ujian calitan sebab Kak Long saya tidak bergejala.
“Anak Kak Ngah saya juga tidak bergejala. Sama-sama kita jaga kesihatan,” katanya dalam entri tersebut.
Dalam hantaran berlainan, pelakon Adnan Sempit itu juga menzahirkan rasa sedih terhadap apa yang berlaku kepada ahli keluarganya.
“Tak tahulah nak sedih atau apa. Semoga mereka kuat dan sihat semuanya,” katanya.
Malaysia mencatatkan 20,546 kes baharu Covid-19 hari ini, menjadikan keseluruhan jangkitan terus melonjak kepada 1,404,899 kes. – Malaysiapost