KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan sebanyak 274 kes kematian Covid-19 dicatatkan hari ini dan Selangor terus menjadi penyumbang terbanyak iaitu 100 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata ia diikuti 39 kes di Kuala Lumpur, Johor (31), Kedah (21), Pulau Pinang (19), Melaka (16), Sabah (15), Perak (10), Kelantan (9), masing-masing lima kes di Sarawak dan Negeri Sembilan, Terengganu (3) serta satu kes di Pahang.
“Kematian itu melibatkan 153 lelaki dan 121 perempuan dengan 63 daripada adalah warga asing, manakala 77 pesakit meninggal dunia di rumah serta 201 pesakit mempunyai pelbagai latar belakang penyakit,” katanya dalam kenyataannya hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 16,805 kes bersamaan 85.1 peratus daripada jumlah 19,740 kes positif Covid-19 harian hari ini, tiada atau tidak lengkap vaksinasi.
Menurutnya, daripada jumlah kes harian itu juga, sebanyak 298 kes bersamaan 1.5 peratus adalah daripada kategori tiga, empat dan lima.
“Sebanyak 19,442 kes bersamaan 98.5 peratus lagi adalah terdiri daripada kategori satu dan dua berdasarkan keadaan klinikal kes semasa baharu didiagnosis Covid-19.
“Ada di antara kes kekal di kategori yang sama sepanjang tempoh jangkitan, namun ada juga yang berubah status kesihatan kes sama ada bertambah baik ke kategori lebih rendah atau merosot ke kategori lebih tinggi,” katanya. – Malaysiapost