Ahli Parlimen menang atas tiket PH perlu kembali bersatu

PRESIDEN Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu menyeru semua Ahli Parlimen yang menang atas tiket Pakatan Harapan (PH) ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu agar kembali bersatu di bawah gabungan tersebut.

Menurutnya, penyatuan Ahli Parlimen di bawah gabungan PH membolehkan mandat yang diberikan rakyat dapat dilaksana sebaik mungkin.

“Apa yang telah berlaku sebelum ini biarkan ia berlalu dan kita cipta sejarah untuk bina semula negara tercinta ini.

“Di dalam menghadapi situasi getir seperti ini, jiwa besar amat diperlukan kerana tidak ada yang benar-benar diharapkan oleh rakyat melainkan kesihatan dan ekonomi rakyat kembali pulih,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau yang juga bekas Menteri Pertahanan berkata, apabila mandat rakyat dalam pilihan raya lalu dikembalikan dan institusi Parlimen dihidupkan, maka tidak ada sesiapa yang ketinggalan.

Mohamad berkata, ia kerana peranan dan pandangan pembangkang akan turut diambil kira dalam menguruskan negara keluar daripada kemelut kesihatan akibat Covid-19 ini dan kembali membina semula ekonomi negara.

“Di hadapan kita hari ini sudah lebih daripada 1.3 juta orang dijangkiti Covid-19 dan lebih 12 ribu kematian dicatatkan. Jumlah ini juga meningkat dari hari ke hari dengan beberapa negeri dilihat kembali merekodkan kes yang tinggi.

“Oleh itu, keutamaan kepada kita semua ketika ini untuk bekerjasama memulihkan kembali kesihatan dan ekonomi negara yang sangat parah,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, demokrasi perlu kembali dipulihkan agar pandangan semua pihak diambil kira sama ada dalam kalangan Ahli Parlimen kerajaan mahupun pembangkang serta pihak-pihak yang lain.

“Proses semak dan imbang melalui institusi Parlimen mesti dihidupkan agar kerajaan baru yang didirikan sentiasa melaksanakan tanggungjawab sebaik-baiknya,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights