PELETAKAN jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri hari ini menyaksikan semua barisan Kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN) turut meletakkan jawatan.
Susulan itu sejak tengah hari tadi, kebanyakan menteri dan timbalan menteri meluahkan ucapan terima kasih di media sosial kepada rakyat Malaysia.
Antara yang berbuat demikian adalah Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba yang mengucapkan terima kasih kepada warga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Jutaan terima kasih kepada kepimpinan tertinggi KKM, seluruh keluarga KKM Putrajaya dan semua frontliners di atas segala kerjasama selama ini.
“Semoga Malaysia sentiasa dirahmati Allah SWT,” tulisnya di Twitter.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun turut berbuat demikian di laman Facebooknya.
“Terima kasih atas peluang dan kepercayaan yang diberikan untuk berkhidmat demi rakyat dan negara.
“Semoga Allah SWT memberkati kita semua dan memelihara kesejahteraan Malaysia. Insya-Allah,” katanya.
Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican pula mengucapkan terima kasih kerana diberi peluang berkhidmat demi negara.
“Kabinet telah mempersembahkan perletakan jawatan kepada Yang di-Pertuan Agong sebentar tadi. Alhamdulillah, saya amat berterima kasih atas amanah dan peluang untuk berkhidmat demi negara sebagai Menteri Belia dan Sukan.
“Terima kasih KBS (Kementerian Belia dan Sukan) dan Malaysia atas peluang yang amat berharga ini. Semoga Malaysia sentiasa dirahmati Allah SWT,” katanya.