GABUNGAN Parti Sarawak (GPS) menghormati keputusan Tan Sri Muhyiddin Yassin melepaskan jawatan bersama seluruh anggota Kabinet berkuat kuasa hari ini.
Ketua Whip GPS, Datuk Seri Fadilah Yusof berkata gabungan itu menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong yang telah berkenan supaya Muhyiddin menjalankan tugas sebagai caretaker Perdana Menteri sehingga Perdana Menteri baharu dilantik.
Katanya, kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin telah melakukan yang terbaik terutama dalam menangani penularan pandemik Covid-19.
“Ini katanya termasuk dalam mempercepat program imunisasi kebangsaan, dengan ia sudahpun menampakkan hasil.
“Namun saya agak terkilan di sebalik komitmen padu dan kesungguhan kerajaan PN dalam menangani pandemik dan membantu rakyat, Perdana Menteri ke-8 itu terpaksa berdepan tekanan politik perebutan kuasa, yang menyebabkan beliau terpaksa mengambil keputusan untuk berundur.
“Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Tan Sri Muhyiddin yang telah memberi kepercayaan kepada saya untuk memikul amanah sebagai Menteri Kanan Infrastruktur dan menerajui Kementerian Kerja Raya sejak 10 Mac 2020 sehingga 16 Ogos 2021,” katanya menerusi kenyataan.
Fadilah seterusnya berharap sesiapa sahaja Menteri Kerja Raya yang akan dilantik selepas ini akan meneruskan segala projek yang telah diluluskan dan dirancang demi kesejahteraan infra rakyat, seperti mana kerajaan PN meneruskan semua projek diluluskan kerajaan Pakatan Harapan yang memerintah selama 22 bulan sebelum ini.
“Kita tidak seharusnya menjadikan rakyat sebagai mangsa akibat krisis politik berpanjangan dan kekerapan pertukaran kerajaan.
“Apa sahaja projek yang dijanjikan kepada rakyat demi kesejahteraan rakyat perlu diteruskan.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada kesemua warga Kementerian Kerja Raya dan agensi-agensi di bawahnya yang memberi kerjasama baik sepanjang saya menerajui kementerian itu,” katanya. – Malaysiapost