HARI ini satu peristiwa penting dijangka berlaku. Perdana Menteri dikatakan akan menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.
Pastinya satu episod baharu dalam perkembangan politik negara dapat dijangka. Banyak persoalan timbul, namun paling utama – siapa Perdana Menteri Malaysia seterusnya?
Sejak semalam, perbincangan dalam kalangan parti politik semakin rancak. Rata-rata dikatakan sibuk berkira-kira dan mencatur kemungkinan yang akan berlaku susulan perkembangan yang dijangka berlaku hari ini.
Di pihak Pakatan Harapan (PH) nama Datuk Seri Anwar Ibrahim dicanang sebagai calon utama. Apakah mimpi Anwar untuk bergelar Perdana Menteri akan tercapai, selepas sekian lama Ahli Parlimen Port Dickson itu dilabel sebagai ‘PM tepi’.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden Umno pula diuar-uarkan sebagai pilihan Perikatan Nasional (PN)untuk menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin. Ideanya, untuk mengelak teraju negara diambil alih kelompok kleptokrat.
Tidak kurang juga yang menamakan Pesiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Namun ia dilihat mustahil kerana kedua-dua kini masih berdepan kes di mahkamah.
Apa sekalipun spekulasinya, seperti diperkatakan umum – siapa antara mereka ini memiliki majoriti sokongan daripada 220 Ahli Parlimen?
Bermakna pelbagai kemungkinan boleh berlaku dan tidak terkecuali, pembentukan jajaran politik baharu akan tercetus untuk mencari solusi.
Jika dilihat, spekulasi Muhyiddin bakal meletakkan jawatan bertiup kencang sejak kelmarin selepas usaha terakhir beliau untuk mengelak kerajaan PN daripada kehilangan fungsi, tidak berhasil.
Ahli Parlimen Pagoh itu diyakini hilang majoriti sokongan Ahli Parlimen, terutama selepas sekelompok Ahli Parlimen Umno menarik sokongan terhadap beliau dan kerajaan PN.
Jumaat lalu, Muhyiddin mengemukakan cadangan persefahaman rentas parti sebagai biduk catur terakhirnya untuk membolehkan usul percaya kepada Perdana Menteri diluluskan dengan undi bipartisan di Dewan Rakyat.
Ia sekali gus membolehkan kerajaan terus berfungsi mengurus pandemik hingga tiba masa sesuai untuk diadakan pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).
Antara tawaran diberi ialah semua Ahli Parlimen akan menerima peruntukan yang sama tanpa mengira parti politik dan membentangkan usul penambahan siling Dana Covid-19 kepada RM110 bilion untuk kelulusan di Parlimen.
Jika persefahaman itu membawa sokongan melebihi majoriti dua pertiga, kerajaan akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Perlembagaan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal, serta RUU Anti-Lompat Parti.
Selain itu, jumlah keanggotaan Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang dalam Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen akan diseimbangkan, pelaksanaan Undi 18 serta taraf Ketua Pembangkang dinaikkan supaya setara seperti Menteri Kanan.
Bagaimanapun, Umno, PH, Parti Warisan Sabah (Warisan), Pejuang, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menolak tawaran dibuat.
Jelas sekali, tawaran damai atas nama bipartisan oleh Muhyiddin kurang menyengat pada mata blok pembangkang. Atau mungkin misi menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekali gus mengambil alih teraju Putrajaya timbangannya ‘lebih besar’ daripada apa yang diusulkan itu?
Yang jelas, mereka di blok pembangkang seperti benar-benar yakin bahawa sebelah kaki kini sudah berpijak di Putrajaya. Tawaran besar atas nama bipartisan disuarakan Muhyiddin ibarat ‘signal’ bahawa Ahli Parlimen Pagoh itu sudah terdesak kerana majoriti sokongan tidak berpihak kepada beliau.
Apa sekali pun, semua mata kini tertumpu kepada Istana Negara. Yang di-Pertuan Agong kini sekali lagi menjadi sandaran untuk menyelesaikan kemelut politik yang melanda.
Kita pernah melalui situasi sama tahun lalu, ketika tumbangnya kerajaan PH selepas Tun Dr Mahathir Mohamad melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri. Ketika itu, Yang di-Pertuan menggunakan bidang kuasa dan kebijaksanaan baginda untuk menyelesaikan kemelut melanda sehingga tertubuhnya kerajaan PN diterajui Muhyiddin.
Sekarang ini, siapa dalam kalangan 220 Ahli Parlimen mempunyai sokongan majoriti untuk diangkat sebagai Perdana Menteri yang baharu? Apakah Anwar, Ismail Sabri atau mungkin Muhyiddin terus kekal.
Yang jelas, harapan semua pastinya untuk melihat kemelut politik yang melanda negara berakhir secepat mungkin. Negara tidak mampu menanggung kemelut politik yang berpanjangan, ketika sudah sedia dibelenggu krisis pandemik yang tidak berkesudahan.
Apa pun perkembangan berlaku di Istana Negara hari ini, diharapkan ia membawa penyelesaian terbaik buat negara supaya pelan menangani Covid-19 dan pemulihan ekonomi yang kini dirangka dan berjalan dapat diteruskan. – Malaysiapost