Semua menteri Kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Yang di-Pertuan Agong hari ini.
Perkara itu disahkan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin menerusi Instastory di laman Instagram miliknya sebentar tadi.
“Terima kasih atas peluang yang diberikan. Sekali lagi, berbakti kepada negara. Semoga Tuhan merahmati Malaysia,” tulisnya dalam hantaran itu.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di Istana Negara pada jam 12.22 tengah hari bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong dipercayai untuk sembah maklum surat peletakan jawatan.
Muhyiddin sebelum itu mempengerusikan mesyuarat khas Kabinet di pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.
Muhyiddin sebelum ini hilang keabsahan sebagai Perdana Menteri selepas 15 ahli Parlimen Umno diketuai Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menarik sokongan terhadap PN dan dirinya. – Malaysiapost
Kredit Foto: Instagram/@khairykj