KETUA Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani tiba di Istana Negara jam 11.16 pagi melalui Pintu 1 dengan menaiki kenderaan rasminya.
Beliau dijangka menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengenai kemelut politik negara.
Istana Negara sekali lagi menjadi tumpuan media susulan kemelut politik negara.
Difahamkan, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin juga akan menghadap Al-Sultan Abdullah hari ini berhubung kedudukannya sebagai ketua kerajaan.
Semalam, media melaporkan, Muhyiddin dijangka meletakkan jawatan hari ini selepas mempengerusikan satu mesyuarat khas Kabinet kira-kira jam 10 pagi tadi.
Terdahulu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof mengesahkan Muhyiddin memaklumkan akan menyerah surat peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, hari ini
Beliau berkata keputusan diambil Perdana Menteri itu adalah di antara perkara dibincangkan ketika mesyuarat Ahli Parlimen daripada Bersatu dengan Muhyiddin di Publika, Kuala Lumpur, semalam. – Malaysiapost