KHIDMAT Kabinet Kerajaan Perikatan Nasional (PN) terhenti sudah setelah peletakan jawatan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini.
KETUA Angkatan Anak Muda Bersatu (Armada), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal tetap positif dengan perkembangan terbaharu politik negara ketika ini.
Ia di sebalik hayat kerajaan Perikatan Nasional (PN) dilaporkan telah berakhir hari ini susulan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dipercayai sudah menghantar surat peletakan jawatan kepada Yang di-Pertuan Agong.
Menerusi hantaran di Facebooknya, Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu menitipkan kata-kata semangat selain berdiri teguh di belakang Muhyiddin sebagai Presiden Bersatu.
“Kita tetap bangga dan berdiri teguh di belakang Tan Sri Presiden. Terima kasih atas khidmat dan kepimpinan yang diberi. Kita akan bangkit semula dengan lebih kuat, Insya-Allah,” katanya.
Terdahulu, Khairy Jamaluddin mengesahkan Kabinet Kerajaan PN berakhir susulan penyerahan surat peletakan jawatan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, tengah hari tadi. – Malaysiapost