Kuasa ‘PM Caretaker’ terbatas, ikut nasihat Peguam Negara, Agong – Muhyiddin

TAN Sri Muhyiddin Yassin berkata peranannya ketika ini sebagai Perdana Menteri Caretaker berbeza berbanding jawatan sebelum ini kerana mempunyai keterbatasan kuasa.

Namun Ahli Parlimen Pagoh itu menegaskan sepanjang memikul tanggungjawab itu beliau akan tetap berpegang pada prinsip, lapor Astro Awani.

Pada masa sama katanya, beliau hanya melakukan tugas berdasarkan nasihat Yang di-Pertuan Agong dan Peguam Negara.

“Sefaham saya sebagai Perdana Menteri Caretaker, Jemaah Menteri telah berhenti dan tidak lagi dalam kerajaan, jadi saya seorang sahaja.

“Saya juga telah tanya kepada Peguam Negara mengenai peranan saya. Saya tak fikir saya perlu naik ke pejabat, sebab pejabat saya itu bukan untuk saya (lagi).

“Kalau apa-apa hal tertentu memerlukan mungkin sesuatu perkara, tak akan Agong buat sendiri kan? Dalam keadaan tiada Perdana Menteri, baginda mungkin panggil saya (untuk mendapatkan nasihat).

“Tetapi (Perdana Menteri Caretaker) ada keterbatasan kuasa bukan seperti Perdana Menteri sebelum ini,” katanya dalam sidang media selepas menyampaikan Perutusan Khas di Putrajaya hari ini.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong menerima peletakan jawatan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dan jawatan seluruh Jemaah Menteri serta-merta berkuat kuasa hari ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan memaklumkan baginda turut memperkenan supaya Muhyiddin menjalankan tugas sebagai ‘caretaker’ Perdana Menteri sehingga Perdana Menteri baharu dilantik.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata beliau juga tidak boleh meluluskan peruntukan kewangan yang besar dan membuat keputusan untuk negara.

“Yang pastinya saya tidak boleh tandangan cek RM1 bilion atau buat keputusan-keputusan tertentu walaupun untuk negara.

“Saya tak fikir kuasa kedudukan saya membolehkan saya membuat begitu, saya berpegang kepada prinsip yang saya hanya buat apa yang harus buat, ikut nasihat Peguam Negara dan Yang di-Pertuan Agong,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights