Lelaki maut ditembak ketika memandu
SEORANG lelaki maut ditembak ketika sedang memandu di Jalan BRP 2/1, Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh, hari ini.
Mangsa berusia 42 tahun itu dikatakan ditembak dengan empat das tembakan ketika memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Range Rover di jalan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafaa’aton Abu Bakar berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada 1.30 tengah tadi.
“Kami dimaklumkan seorang lelaki berusia 42 tahun ditembak ketika memandu kenderaan jenis Range Rover di lokasi berkenaan.

“Siasatan awal di lokasi mendapati mangsa ditembak empat das tembakan dan dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia pada 2.15 petang.
“Motif kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu agar menghubungi polis di talian 03-61561222 atau mana-mana balai berhampiran bagi membantu siasatan. – Malaysiapost