Mesyuarat terakhir dihadiri jemaah menteri – Khairuddin

JEMAAH Kabinet Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dilapor telah mengadakan mesyuarat khas dan dijangka kali terakhir sebelum Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin meletakkan jawatan hari ini.

Satu hantaran di Facebook, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali mencuri tumpuan netizen hari ini.

Dalam hantaran itu, Mohd Khairuddin menzahirkan mesyuarat itu adalah yang terakhir dihadiri jemaah menteri di Putrajaya hari ini.

“Alhamdulillah. Selesai mesyuarat kabinet terakhir kerajaan Perikatan Nasional pagi ini. YAB Perdana Menteri akan bergerak untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong. Tawakal kepada Allah selepas bertekad seusai mesyuarat.

“Dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan tersebut. Apabila kamu telah bertekad membuat keputusan maka bertawakkal berserah diri lah kepada Allah kerana sesungguhnya Allah suka orang-orang yang bertawakkal berserah diri,” katanya yang memetik Surah Al-Imran ayat 159.

Muhyiddin meninggalkan Putrajaya kira-kira jam 12 tengahari dan tiba di Istana Negara pada 22 minit selepas itu.

Beliau dijangka mempersembahkan surat perletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri kepada Yang di Pertuan Agong.

Muhyiddin terpaksa meletakkan jawatan selepas hilang majoriti di Parlimen susulan keputusan Umno yang memuktamadkan menarik balik sokongan terhadapnya pada 2 Ogos lalu.

Namun, masih menjadi teka-teki siapakah bakal dilantik Perdana Menteri baharu kerana setakat ini difahamkan tiada satu blok parti politik memiliki majoriti mudah iaitu 111 kerusi. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights