Muhyiddin mempengerusikan mesyuarat khas kabinet

PERDANA Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di pejabatnya di Bangunan Perdana, Putrajaya, dipercayai bagi mempengerusikan mesyuarat khas kabinet.

Kenderaan yang membawanya dilihat memasuki pekarangan bangunan Perdana Putra jam 8.07 pagi tadi.

Muhyiddin sempat melambaikan tangan dan tersenyum kepada pemberita yang menunggunya di luar bangunan Perdana Putra, lapor Sinar Harian.

Difahamkan, mesyuarat berkenaan diadakan jam 10 pagi ini sebelum Muhyiddin menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi menghantar surat peletakan jawatannya.

Terdahulu, kenderaan milik Perdana Menteri dilihat keluar daripada kediamannya pada jam 7.45 pagi. Malah, Muhyiddin sempat melambai tangan kepada petugas-petugas media yang berkampung di kawasan itu sejak jam 6.30 pagi.

Semalam, media melaporkan, Muhyiddin dijangka meletakkan jawatan hari ini selepas mempengerusikan satu mesyuarat khas Kabinet lebih kurang jam 9 pagi ini.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof mengesahkan Muhyiddin memaklumkan akan menyerah surat peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, hari ini

Beliau berkata keputusan diambil Perdana Menteri itu adalah di antara perkara dibincangkan ketika mesyuarat Ahli Parlimen daripada Bersatu dengan Muhyiddin di Publika, Kuala Lumpur, semalam.

Terdahulu, sebuah portal berita yang memetik sumber melaporkan, Muhyiddin dijangka akan mempersembahkan dua nama calon Perdana Menteri yang baharu, semasa menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Difahamkan dua nama berkenaan adalah Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera dan Menteri Kanan Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, yang merupakan Ahli Parlimen Sembrong.

Bagaimanapun difahamkan, majoriti pimpinan kanan dalam Bersatu tidak bersetuju dengan cadangan berkenaan, dan masih merasakan Bersatu perlu menerajui kerajaan baharu. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights