Muhyiddin mohon maaf, telah cuba yang terbaik lindungi rakyat

Muhyiddin mohon maaf, telah cuba yang terbaik lindungi rakyat

TAN Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengambil kesempatan memohon maaf atas segala kesilapan dan kelemahan sepanjang menjadi Perdana Menteri.

Beliau yang telah menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong hari ini memaklumkan telah bersama-sama Jemaah Menteri mencuba yang terbaik untuk melindungi rakyat dalam tempoh krisis pandemik Covid-19.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memohon keampunan daripada saudara dan saudari atas segala kekhilafan dan kelemahan saya sepanjang saya menjadi Perdana Menteri.

“Saya dan rakan-rakan dalam Jemaah Menteri telah cuba melakukan yang terbaik untuk menyelamatkan nyawa dan melindungi kehidupan saudara dan saudari sekalian dalam tempoh krisis yang masih kita hadapi pada masa ini.

“Namun, sebagai manusia pastinya ada salah dan silap di sana ini. Jadi saya memohon maaf.” katanya dalam Perutusan Khas Perdana Menteri, sebentar tadi.

Muhyiddin berkata, beliau berharap kerajaan baharu dapat dibentuk dengan segera supaya pentadbiran negara tidak terganggu dan dapat berjalan seperti biasa.

Jelas beliau, tempoh dua bulan ke hadapan adalah amat penting kerana negara dijangka mencapai imuniti kelompok pada bulan Oktober.

“Segala perancangan yang telah digariskan dalam Pelan Pemulihan Negara tidak boleh terbantut.

“Sektor-sektor ekonomi perlu dibuka semula untuk memastikan ekonomi negara dapat pulih dengan segera dan rakyat dapat menjana pendapatan untuk menyara diri dan keluarga,” katanya. – Malaysiapost

Komen