BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan mengemukakan saman fitnah terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin dan juga Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan.
Beliau berkata, ia berkaitan dengan tuduhan bahawa terdapat pihak yang meminta kerajaan campur tangan berhubung kes mahkamah khususnya membabitkan Ahli Parlimen Pekan itu.
“Saya tak main propaganda. Saya tak main air liur. Saya berdasarkan bukti, kebenaran serta data dan sains.
“Kami cabar kamu buat laporan polis bahawa ada yang suruh kamu ganggu kes utama, kamu tak berani.
“Sebab itu, peguam saya akan mengemukakan saman fitnah serta mohon kepada mahkamah untuk ambil tindakan terhadap Muhyiddin dan Wan Saiful Wan Jan kerana menghina mahkamah,” kata beliau dalam hantaran di Facebook malam ini.
Terdahulu, Muhyiddin dalam perutusan khas petang tadi menegaskan tidak akan mengorbankan prinsipnya demi mempertahankan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Dalam perutusan itu, beliau menegaskan tidak akan sesekali bersekongkol dengan kumpulan ‘kleptokrat’ bagi menyelamatkan kedudukannya sebagai Perdana Menteri.
Dalam hantaran itu juga, Najib mengingatkan Ahli Parlimen Pagoh itu siapa sebenarnya pihak yang ‘rakus’ kuasa demi jawatan nombor satu negara.
“Dia kata dia turun sebab ada yang rakus kuasa mahu jawatan dia.
“Tapi dia sudah lupa siapa yang rakus kuasa untuk tikam belakang (Dr) Mahathir (Mohamad) dan khianat gabungan dia untuk rampas kuasa setelah parti dia kalah begitu teruk sekali kepada BN pada PRK Tanjung Piai dan mula minta nyawa pada kami.
“Siapa yang rakus untuk kekalkan kuasa sehingga hentikan Parlimen selama tujuh bulan dan selepas dipaksa bersambung, dia tak benarkan Ordinan Darurat dibentang sehingga terpaksa menipu YDP Agong?,” tulis Najib.
Dalam pada itu, Najib sekali lagi berkata, Muhyiddin mungkin lupa bahawa individu yang digelar ‘kleptokrat’ itulah yang beliau meminta ‘nyawa’ dan mengangkatnya sebagai Perdana Menteri. – Malaysiapost