Negara perlukan Anwar sebagai PM – Kit Siang

MALAYSIA memerlukan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri untuk membawa pasukan dan dasar baharu bagi mengakhiri pandemik Covid-19 dan membangunkan kembali Malaysia, kata Veteran DAP Lim Kit Siang.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berpendapat, jika Perdana Menteri baharu dipilih daripada ahli Kabinet kerajaan yang sudah gagal, maka tiada perubahan akan berlaku dalam usaha mengeluarkan negara daripada kemelut dihadapi ketika ini.

Menurutnya, umum mengetahui Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri adalah seorang daripada kepimpinan kerajaan yang gagal menangani wabak Covid-19 hingga menyebabkan lebih 12,500 kematian dan 1.4 juta jangkitan setakat ini.

“Kepemimpinan dan dasar baharu sahaja akan dapat mengelakkan Malaysia menuju ke lebih 15,000 kematian dan lebih dari 1,7 juta kes Covid-19 ketika menjelang Hari Kebangsaan ke-64 kita pada 31 Ogos ini.

“Jika ini tidak berlaku, maka tiada perubahan dalam menangani pandemik Covid-19, kebangkitan ekonomi atau melepaskan diri dari dasar-dasar pembangunan negara yang menyebabkan Malaysia dilihat semakin terjebak menuju negara yang gagal,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berpendapat, jika Ismail Sabri dilantik sebagai Perdana Menteri, akan lebih banyak lagi polisi sama kakistokrasi dan kleptokrasi yang akan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang gagal.

“Malaysia memerlukan kepimpinan baharu di mana rakyat tanpa mengira etnik, agama, wilayah atau politik, sekali lagi dapat mengimpikan sebuah negara besar bertaraf dunia.

“Kami mahukan Perdana Menteri baharu yang merancang untuk Malaysia pada tahun 2070, yang tidak perlu bimbang tentang kedudukannya di Parlimen atau bagaimana cara mengawal pandemik Covid-19.

“Kami perlukan Perdana Menteri dan kepimpinan untuk masa depan semua rakyat Malaysia,hari ini dan esok,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights