SEMUA penjawat awam diingatkan tidak terlibat dengan polemik politik semasa ketika ini, sebaliknya sentiasa berpegang kepada prinsip neutral dan tidak berpolitik.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman berkata kesetiaan penjawat awam adalah kepada Raja, negara dan kerajaan, tidak kira sama ada bertugas di mana jua peringkat dan kedudukan.
Menurutnya, senario politik terkini memberikan pelbagai persepsi kepada keseluruhan sistem pentadbiran kerajaan.
“Sebagai sebahagian proses demokrasi, perubahan landskap politik semasa tidak sewajarnya mempengaruhi perjalanan penyampaian sistem perkhidmatan awam.
“Perkhidmatan awam merupakan jentera dalam sistem pentadbiran negara dan ia ditadbir urus bagi membolehkan dasar dan program negara berjalan lancar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, ketua-jetua jabatan juga telah diarah untuk melaksanakan tugas selari dengan dasar semasa ditetapkan.
“Sehubungan itu, semua warga perkhidmatan awam di bawah kementerian dan jabatan masing-masing perlu melaksanakan tanggungjawab dan bekerja bagi memastikan segala pengurusan dan pentadbiran kerajaan berjalan lancar seperti biasa.
“Semua perancangan di bawah dasar sedia ada seperti projek pembangunan, program menangani Covid-19 dan program vaksinasi serta Pelan Pemulihan (PPN) dapat dilaksanakan seperti ditetapkan,” katanya.
Menurutnya, penjawat awam akan memastikan keutuhan dan kelancaran sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan diteruskan dengan baik dan berkesan selari dengan ikrar ‘Berkhidmat untuk Negara’.
“Dalam keadaan negara dan rakyat terkesan dengan keadaan ekonomi serta kehidupan, penjawat awam mestilah tampil ke hadapan untuk memberikan perkhidmatan terbaik bagi meringankan beban rakyat dan negara.
“Kita yakin semua anggota perkhidmatan awam mampu untuk melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan baik. Moga Allah SWT dapat memudahkan segala urusan kita dengan sempurna dan memberikan kesejahteraan kepada rakyat dan negara,” katanya. – Malaysiapost