Penyumberluaran pesakit bukan Covid-19 dari HSI, HSA ke hospital swasta – TMJ

TUNKU Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menitahkan penyumberan luar pesakit bukan Covid-19 ke hospital swasta bagi meringankan bebanan terhadap sistem kesihatan awam dimulakan secara berperingkat.

Baginda bertitah, ini bagi meningkatkan pengurusan hospital dalam situasi pandemik ketika ini.

“Pesakit bukan Covid-19 dari Hospital Sultan Ismail (HSI) akan dipindahkan ke Hospital Columbia Asia, manakala pesakit dari Hospital Sultanah Aminah (HSA) akan dipindahkan ke Hospital KPJ.

“Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad juga telah mengumumkan penambahan katil di wad Covid-19 HSI dan kemudahan khemah di hadapan Jabatan Kecemasan dan Trauma akan ditambah baik,” titahnya di Facebook.

Terdahulu, tular mengenai keadaan pusat kuarantin pesakit Covid-19 di HSI, yang memperlihatkan pesakit Covid-19 ditempatkan di khemah berdekatan hospital berkenaan dan situasi bertambah buruk apabila keadaan hujan dengan khemas turut digenangi air.

Titah Tunku Ismail, satu inisiatif baru, Inisiatif Pemimpin Advokasi Covid-19 (IPA-C) akan dilaksanakan melalui kerjasama kerajaan negeri Johor, Jabatan Kesihatan Negeri Johor dan pemimpin-pemimpin komuniti tempatan.

“Objektif inisiatif ini adalah untuk mencegah penularan wabak Covid-19 dengan mengutamakan konsep tanggungjawab ‘Collective Responsibility’.

“Ia dalam menggerakkan dan memperkasakan komuniti, memantapkan konsep ‘RISK Communication’ yang berkesan untuk meningkatkan tahap kesedaran masyarakat dan memperkukuhkan usaha-usaha pemantauan terhadap pematuhan SOP.

“Proses vaksinasi juga harus dipercepatkan dan sentiasa dipantau oleh agensi-agensi dan pihak berkuasa agar proses vaksinasi dapat dijalankan secara baik, cepat, selamat dan tidak membebankan rakyat yang datang ke PPV.

“Kita juga perlu beri tumpuan kepada pesakit Covid-19 supaya mereka mendapat jagaan rapi yang sebaiknya,” titah baginda. – Malaysiapost

Kredit Foto: Facebook/HRH Crown Prince of Johor

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights