Perkhidmatan Awam komited laksanakan amanah – KSN

Perkhidmatan Awam komited laksanakan amanah – KSN

ANGGOTA Perkhidmatan Awam terutama petugas barisan hadapan akan terus menggalas amanah dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan negara seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, berkata anggota perkhidmatan awam akan berpegang teguh kepada ikrar Perkhidmatan Awam serta komited mendokong konsep neutral dan kerajaan yang memerintahkan berlandaskan undang-undang.

Menurutnya, jentera kerajaan akan sentiasa sedaya upaya melaksanakan semua dasar yang telah diputuskan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan terbaik dalam tempoh yang mencabar ini.

“Dalam mendepani situasi semasa, saya memberi jaminan Perkhidmatan Awam terutama anggota barisan hadapan sentiasa memberi komitmen penuh memastikan sistem penyampaian kerajaan tidak terjejas berteraskan dasar semasa kerajaan.

“Urusan pentadbiran seharian akan terus diterajui oleh Ketua-Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua-Ketua Jabatan Persekutuan seperti biasa.

“Anggota keselamatan terutamanya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa dalam keadaan siap siaga bagi menjaga keamanan dan ketenteraman awam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, segala usaha, bantuan dan inisiatif melibatkan peruntukan besar tidak akan terjejas demi kemaslahatan dan kesejahteraan rakyat terutama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang menjadi senjata ampuh melawan Covid-19.

“Perkhidmatan Awam telah mengemudi pelayaran yang penuh liku dalam pelbagai konflik dan situasi yang mencabar. Layarnya perlu selari dengan tiupan bayi, dikemudi cekap dan arahnya menepati destinasi yang hendak dilabuhkan.

“Walau apa pun gelora dan badai yang melanda, pelayaran ini akan kami teruskan bagi melaksanakan tanggungjawab demi negara yang kita cintai ini,” katanya. – Malaysiapost

Komen