PELETAKAN jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri adalah berlandaskan Perlembagaan, kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
Menurutnya, DAP menghargai tindakan Muhyiddin meletak jawatan sebagai Perdana Menteri setelah kehilangan majoriti.
“Selama 17 bulan berkuasa, Mahiaddin (Muhyiddin) ada berusaha tetapi tidak mampu menangani krisis tiga berganda pandemik Covid-19, kemelesetan ekonomi dan ketidakstabilan politik.
“Perdana Menteri yang baharu menghadapi cabaran besar dan perlu melakukan tugas yang jauh lebih baik dalam menangani krisis tiga berganda ini, terutamanya demi menyelamatkan nyawa dan mata pencarian yang terjejas teruk akibat lonjakan jangkitan dan angka kematian Covid-19,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Guan Eng berkata, Program Imunisasi Kebangsaan (PICK) perlu dipercepatkan untuk memastikan imuniti kelompok dicapai dengan suntikan vaksin dan bukan jangkitan daripada virus berkenaan.
Katanya, selain itu pelan ‘Reset’ Covid-19 perlu dilancarkan untuk beralih dari pembendungan Covid-19 kepada mitigasi untuk hidup dengan Covid-19.
“Pelan Normalisasi Ekonomi dilaksanakan untuk meletakkan Malaysia kembali ke landasan pemulihan dengan penekanan pada pekerjaan, membuka semula ekonomi dan bantuan kewangan berkala kepada perniagaan dan penganggur,” katanya. – Malaysiapost