Saya manusia biasa ikut peraturan dalam Perlembagaan – Muhyiddin
Nurul Huda Abhar
TAN Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau adalah manusia biasa yang sentiasa mengikut peraturan dan tunduk kepada apa yang terkandung dalam Perlembagaan.
Menurutnya, ketika mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 1 Mac tahun lalu, beliau berjanji akan menjunjung Perlembagaan Negara dan Institusi Raja.
“Saya kira telah buat apa yang saya fikir diperlukan untuk menyelamatkan nyawa rakyat jelata, menentukan mereka ada makanan di atas meja dan nyawa selamat.
“Ini kunci yang amat penting untuk memastikan keselamatan bangsa dan negara. Mungkin kerana Allah mengangkat saya di darjat ini untuk tujuan itu agaknya,” katanya dalam video yang dimuat naik di Facebook.
Ahli Parlimen Pagoh itu menerusi video tersebut turut menyatakan pentadbiran negara masih mampu untuk diteruskan.
Muhyiddin berkata, beliau bersama Kabinet sebelum ini berusaha mencari solusi membantu rakyat menangani kesan Covid-19 yang cukup mendalam.
“Sebab itu saya sanggup bercakap memperkata apa yang benar walaupun pahit. Cakaplah perkara yang benar walaupun pahit.
“Buat apa yang Allah perintah, tinggal apa yang Allah larang. Benteras kejahatan. Itu pokoknya. Jadi kalau kita berpegang pada hukum sebegini, InsyaAllah hidup kita selamat,” ujarnya lagi.
Di akhir video itu, Muhyiddin menegaskan jawatan Perdana Menteri yang dipikul adalah satu amanah yang berat dan perlu digalas sebetul-betulnya.
“Betul kerana bukan sebab saya rasa betul tetapi Allah kata ini betul. Saya berpandu pada itu,” katanya.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menerima peletakan jawatan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dan seluruh Jemaah Menteri serta-merta berkuat kuasa hari ini.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan memaklumkan baginda turut memperkenan supaya Muhyiddin menjalankan tugas sebagai ‘caretaker’ Perdana Menteri sehingga Perdana Menteri baharu dilantik. – Malaysiapost