Tak terlintas namakan diri sebagai calon PM – Zahid

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan tidak pernah terlintas untuk menamakan dirinya sendiri sebagai calon Perdana Menteri, walaupun mengepalai sebuah parti terbesar.

Beliau berkata, Umno sebagai sebuah parti yang mempunyai pengalaman luas dan panjang dalam mentadbir negara, akan mempertimbangkan beberapa calon bagi jawatan Perdana Menteri kesembilan.

“Sehubungan itu, saya mengharapkan kerjasama serta sokongan semua Ahli Parlimen.

“Saya ingin menyeru kepada seluruh ahli dan kepimpinan Umno di semua peringkat untuk mengenepikan segala perbezaan dan kembali bertaut demi menjayakan agenda rakyat dan negara ini,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Ahmad Zahid berkata, bagi mengelakkan krisis politik berulang, beliau mencadangkan sebuah kerajaan yang stabil segera dibentuk yang akan memfokuskan hanya menangani pandemik Covid-19 dan menguruskan soal kesejahteraan rakyat yang semakin meruncing.

Katanya, bagi tujuan tersebut sebuah Kabinet yang efektif mirip seperti ‘War Cabinet’ yang hanya memfokuskan proses pemulihan negara mendepani pandemik hendaklah dibentuk.

“Setelah negara mencapai imuniti kelompok dan keadaan memungkinkan untuk Pilihan Raya Umum ke-15 diadakan, maka Kerajaan ini harus dibubarkan bagi menyerahkan semula mandat mutlak kepada rakyat.

“Bagi menjamin kestabilan dan kerjasama politik dicapai, tindakan menzalimi parti dan pimpinan lawan hendaklah dihentikan. Menggunakan agensi-agensi kerajaan untuk melemahkan lawan dalam mengekalkan kuasa tidak akan memberi apa-apa faedah kepada rakyat,” ujarnya.

Sementara itu, beliau berkata, Umno merakamkan terima kasih kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin atas perkhidmatan beliau sebagai Perdana Menteri kelapan.

“Umno merakamkan terima kasih kepada beliau atas perkhidmatannya.

“Apa yang berlaku perlulah dijadikan teladan dan saya menyeru semua pihak untuk memandang ke hadapan dengan memberi sepenuh tumpuan hanya kepada satu matlamat bagi bersama-sama menjaga kesejahteraan rakyat dan membina kembali negara tercinta ini,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights