Tindakan Muhyiddin sifat seorang negarawan
KETUA Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan menyifatkan keputusan Tan Sri Muhyiddin meletakkan jawatan menunjukkan Ahli Parlimen Pagoh itu seorang negarawan yang mengutamakan rakyat dan negara.
Beliau berkata, sejak awal lagi Muhyiddin mahukan kestabilan politik untuk membolehkan kerajaan memberi tumpuan kepada usaha memerangi Covid-19.
“Tindakan Tan Sri Muhyiddin menunjukkan beliau seorang negarawan yang sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat dan negara.
“Malang buat negara kita kerana ada pihak berkepentingan peribadi yang rakuskan kuasa terus menerus merosakkan kestabilan itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata, jasa Muhyiddin sebagai Perdana Menteri adalah jelas apabila program vaksinasi kebangsaan berjalan baik sehinga aktiviti ekonomi dibuka semula secara berperingkat.
“Dijangkakan imuniti kelompok akan dicapai tidak lama lagi. Manakala ekonomi negara juga dijangka berkembang semula bermula tahun hadapan.
“Sementara itu, jumlah bantuan yang diberikan oleh kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin kepada rakyat sudah mencecah rekod yang tidak pernah disaksikan sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata, pemimpin kerajaan selepas ini boleh menjangka kejayaan akan datang yang merupakan hasil usaha dan landasan yang disediakan Muhyiddin selama ini.
“Landasan yang disediakan oleh Muhyiddin sudah jelas. Saya yakin rakyat keseluruhannya amat menghargai jasa beliau.
“Bagi pihak Bersatu, saya mengucapkan terima kasih kepada semua mesej-mesej sokongan yang disuarakan oleh rakyat kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya.
Dalam pada itu, Wan Saiful berkata, Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu sedang bermesyuarat atas talian mengenai langkah seterusnya.
“Ahli-ahli Bersatu diseru bertenang dan memberi kepercayaan kepada Majlis Pimpinan Tertinggi. Saya jangka Timbalan Presiden akan membuat pengumuman setelah keputusan dicapai,” katanya.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitah maklum menerima peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri dan jawatan seluruh Jemaah Menteri serta-merta berkuat kuasa hari ini.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan dikeluarkan sebentar tadi, memaklumkan baginda turut memperkenan supaya Muhyiddin menjalankan tugas sebagai ‘caretaker’ Perdana Menteri sehingga Perdana Menteri baharu dilantik.
Titah baginda, katanya, ia selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa Seri Paduka Baginda hendaklah melantik seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri baharu untuk mempengerusikan Jemaah Menteri. – Malaysiapost