“Umno akan memimpin semula negara tercinta ini” – Mastura
TIMBALAN Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Mastura Mohd Yazid bertekad akan terus istiqamah untuk beraksi lebih terbilang walaupun tanggungjawabnya dalam kerajaan sudah hampir ke penghujungnya.
Ahli Parlimen Kuala Kangsar itu berkata, sepanjang berkhidmat di kementerian yang rapat dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN), beliau bukan sahaja hadapi penderitaan rakyat, tetapi terpaksa melayan perkelahian politik yang tidak berkesudahan.
“Siri perjuangan kali ini hampir sampai ke penghujungnya. Bekerja di kementerian yang rapat dengan MKN, saya dihidang laporan luluh hati rakyat, terpaksa melayan episod demi episod perkelahian politik yang tidak berkesudahan.
“Keberanian saya mempertahan prinsip menentang pengambilalihan pimpinan liberal dan tidak merdeka jiwa, meletak saya dalam ancam kecaman sepanjang perkhidmatan.
“Tidak cukup dengan beban dikecam pimpinan bahagian di kawasan, batu pula digalas akibat cuba mempertahan cerminan mulia Umno di mata rakyat kebanyakan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Beliau mendakwa, konflik dendam pemimpin tertentu terhadap musuh politik dengan menggunakan rakyat, menjadikan dia dalam keadaan yang sangat bahaya.
“Apa sahaja pilihan yang kami Ahli Parlimen ada, tertakluk kepada sumpah setia khidmat seorang wakil rakyat dan anggota kabinet kerajaan.
“Mungkin canggung tidak terbiasa dengan berani juang seorang wanita, maka saya dihina sehabis dina. Pembuli siber tidak pernah putus asa merobek jiwa sebaik celiknya mata hingga tiba waktu lena.
“Anak-anak kesayangan tidak terkecuali diburu sama. Walau bergelar Timbalan Menteri, tidak pernah lagi saya manfaat Seksyen 233 Akta Komunikasi & Multimedia 1998 bagi mengajar si lancang bicara siber,” katanya.
Mastura berkata, walaupun dikecam dia menganggap semuanya adalah cabaran.
“Rakan-rakan taulan sekalian, dipenghujung khidmat saya kali ini, saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih atas sokongan dan dorongan. Saya menghulur tangan kemaafan atas pasti adanya khilaf kata, lajak perbuatan dan kekurangan diri.
“Untuk episod seterusnya di siri perjuangan yang mendatang ini, saya bertekad untuk terus istiqamah beraksi lebih terbilang,” katanya.
Beliau berharap semua pihak menghayati semula Rukun Negara Kelima iaitu ‘Kesopanan dan Kesusilaan’ dan melayannya secara adil selepas ini.
“Sebagaimana tekadnya saya berjuang demi rakyat dan tanahair, diharapkan kalian juga tekad berlaku adil terhadap saya di episod perjuangan rakyat yang akan datang ini.
“Umno akan memimpin semula negara tercinta ini. Jadikan pengakhiran siri ini suatu permulaan sempurna buat Umno,” katanya. – Malaysiapost