“Yang pahit menjadi ubat, yang manis menjadi pengubat” – Takiyuddin
PENGUNDURAN barisan Kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN) disifatkan sebagai tanggungjawab bersama dan bukanlah kerana kesalahan selepas dikatakan gagal dalam menangani pandemik Covid-19.
Perkara itu ditegaskan Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang turut mengucapkan terima kasih atas segalanya sepanjang PN memerintah.
“Pengunduran atas ‘collective responsibility’ bukan ‘collective guilt’. Terima kasih atas segalanya, yang pahit menjadi ubat, yang manis menjadi pengubat.
“Negara selamat semua terubat,” katanya dalam satu ciapan di Twitter, hari ini.
Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung PAS adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) di bawah kerajaan PN.
Terdahulu semua menteri Kabinet kerajaan PN dilaporkan telah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Yang di-Pertuan Agong hari ini.
Perkara itu disahkan Khairy Jamaluddin menerusi Instastory di laman Instagram miliknya. – Malaysiapost