TIGA bekas menteri kerajaan Perikatan Nasional (PN) daripada PAS mengucapkan terima kasih kepada bekas kementerian masing-masing hari ini.
Ucapan terima kasih itu disampaikan menerusi Facebook masing-masing susulan kejatuhan kerajaan PN semalam.
Timbalan Presiden PAS yang juga bekas Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menyampaikan ucapan terima kasih kepada semua warga kementerian termasuk agensi-agensi di bawahnya atas diberikan sepanjang tempoh perkhidmatan.
“Hanya Allah SWT sahaja yang akan membalas kebaikan segalanya. Terima kasih juga kepada rakyat Malaysia yang sentiasa peka, menyokong dan membantu saya serta KASA dalam menjalankan tanggungjawab yang berat ini.
“Semoga alam sekitar dan sumber air di Malaysia terus dilestarikan. Alam sekitar tanggungjawab kita bersama,” katanya.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) turut menyampaikan ucapan sama.
Terima kasih. Kerjasama serta komitmen baik daripada semua agensi terlibat sangat dihargai. Terima kasih semuanya,” tulisnya.
Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali pula merakamkan terima kasih kepada warga Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC).
“Peluang dan ruang yang diberikan selama ini adalah cukup bernilai dan berharga. Ikatan persahabatan dan perkenalan tidak habis di sini.
“Semoga KPPK terus maju dan berjaya dengan seluruh warganya yang sentiasa berusaha keras untuk menaikkan lagi kemampuan sektor komoditi negara. Insya-Allah,” katanya. – Malaysiapost