AHLI Parlimen Beaufort, Datuk Azizah Dun menegaskan beliau tidak akan meletak jawatan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara).
Wakil dari Bersatu itu berkata pihak mendesak kepemimpinan Bersatu yang dilantik ke syarikat berkaitan kerajaan (GLC) agar meletakkan jawatan, sepatutnya menyemak semula Perlembagaan Persekutuan.
“Kenapa dia mau tanya begitu pula (kenyataan media sosial)? Kena semak Perlembagaan Persekutuan yang mengatakan dengan jelas bahawa apabila kehilangan majoriti di Parlimen, maka Kabinet meletakkan jawatan. Itulah yang jelas.
“Sebab itu dalam media sosial ini kadang-kadang mereka bercakap sesuka hati saja. Tidak tau apa yang sebenarnya berlaku, mereka tidak tahu Perlembagaan dan sebagainya.
“Jadi, bagi kami kita tunggulah macam mana selepas ini, apabila sudah terlantik Kabinet baru dan PM baru, dan kita lihatlah apa yang berlaku,” katanya seperti dilaporkan FMT.
Terdahulu, Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad dilaporkan berkata pelantikan politik di GLC dan syarikat berkaitan pelaburan kerajaan (GLIC) harus mengikuti jejak Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan meletakkan jawatan serta-merta.
Azizah dilantik sebagai Pengerusi MARA pada 1 Mei tahun lalu.
Tempoh lantikan adalah bagi dua tahun mulai 1 Mei 2020 sehingga 30 April 2022.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Azizah yang mewakili Barisan Nasional menang di kerusi Parlimen Beaufort dengan majoriti 3,331 sebelum menyertai Bersatu.