Muhyiddin akan ketuai PN berdepan PRU15

WALAUPUN telah meletak jawatan sebagai Perdana Menteri semalam, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak bercadang berundur daripada politik.

Sebaliknya Perdana Menteri Caretaker itu yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) bertekad untuk terus memimpin gabungan parti politik tersebut menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata beliau kini mempunyai banyak masa untuk memberi tumpuan kepada Bersatu yang diterajuinya serta rakan dalam PN, lapor Berita Harian.

“Kita akan terus menggerakkan jentera dan susun strategi untuk menghadapi pilihan raya akan datang. Saya percaya rakyat sudah melihat pencapaian kerajaan PN sejak setahun lalu. Tanpa manifesto pun mereka akan selesa dengan PN.

“Apabila tiba PRU nanti kita serah kepada rakyat menentukannya. Yang pasti saya ada banyak masa sekarang dan banyak pengalaman mengetuai jentera pilihan raya semasa dalam Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini,” katanya dalam pertemuan bersama pengarang-pengarang berita semalam.

Sementara itu, Muhyiddin menyifatkan peletakan jawatannya semalam adalah permulaan kepada satu episod baharu dalam politiknya.

Katanya, keyakinannya terhadap PN menghadapi PRU akan datang adalah berdasarkan pendirian dan semangat pemimpin serta akar umbi dalam parti yang mahu beliau meneruskan usaha itu.

“Bila dengar saya nak berhenti tempoh hari, semua pemimpin parti memberi semangat dan bertekad untuk terus berjuang bersama saya dalam apa juga keadaan. Mereka sedia berenang atau tenggelam sama-sama.

“Dengan pendirian ini dan semangat perjuangan ditunjukkan pemimpin PN, saya percaya kita ada kekuatan,” katanya.

Beliau turut menolak tanggapan PN adalah parti untuk orang Melayu dan Bumiputera saja, sebaliknya ia berkhidmat untuk semua rakyat tanpa mengira kaum.

“(Mesyuarat) Kabinet kerajaan PN tidak pernah sekali pun berbincang isu kaum… orang Melayu saja… orang Cina saja… atau orang India saja. Kita bantu semua kaum,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights