Prof Agus pilih Anwar sebagai PM9
PENGANALISIS politik, Prof Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff menamakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri jika diberi pilihan untuk memilih calon pengganti Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Katanya, difahamkan ketika ini tiada parti yang mempunyai majoriti, tetapi masing-masing mempunyai calon sendiri seperti Anwar, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Tengku Razaleigh Hamzah dan Datuk Seri Mohd Shafie Afdal.
Beliau berkata, kesemua pemimpin tersebut memiliki latar belakang hebat dan banyak jasa pada negara.
“Negara dalam krisis Covid. Kes 20,000 sehari dan jumlah kematian pun sudah 12,500 orang. Ekonomi negara merudum, pasaran saham rendah, nilai mata wang jatuh, barangan mahal, pengangguran meningkat dan kehidupan rakyat susah.
“Bagi menangani masalah ini, kita perlukan seorang pemimpin yang mempunyai daya tahan, keazaman, idea dan dasar-dasar baharu, keyakinan, jaringan antarabangsa, pendedahan dan visi yang sesuai dengan tuntutan semasa.
“Bertuahnya negara ini jika keempat-empat pemimpin ini bersama dalam satu barisan Kabinet untuk tempoh berbaki dua tahun lagi sebelum PRU15,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Namun Mohammad Agus yang juga pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, jika diminta memilih satu dari empat nama, siapa Perdana Menteri pilihannya, beliau memilih Anwar.
“Bukannya kerana saya mahu memberi peluang kepada beliau setelah lama berjuang. Tidak.
“Tetapi kerana beliau mengangkat nilai dan falsafah demokrasi yang saya mahukan: kebenaran, keadilan, kesejahteraan dan kemanusiaan,” katanya.
Beliau berkata, melantik Perdana Menteri adalah kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong dan kerana itulah Ahli Parlimen tidak mengundi memilih Perdana Menteri sepertimana mereka mengundi memilih speaker.
“Sekarang kita hanya ada caretaker PM. Maka Agong perlu memilih PM baharu,” katanya. – Malaysiapost