Saya sokong Anwar sebagai PM – Kian Ming

AHLI Parlimen Bangi dari DAP, Ong Kian Ming menegaskan beliau menyokong Pengerusi Pakatan Harapan (PH) yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Sebelum ini beliau menyarankan pembangkang mempertimbangkan tawaran rentas parti oleh bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Tiada isu. Pendirian saya dan parti saya jelas. Saya akan menyokong @anwaribrahim sebagai calon PM (Perdana Menteri) saya.

“Kecuali jika parti mengarahkan sebaliknya, ini (Anwar) akan menjadi pilihan saya,” katanya menerusi ciapan di Twitternya hari ini.

Kian Ming berkata demikian menjawab pertanyaan seorang pengguna Twitter supaya beliau mendedahkan Akuan Bersumpah (SD) kepada umum supaya semua tahu siapakah calon Perdana Menteri pilihannya.

Terdahulu, semua anggota Dewan Rakyat diarahkan supaya menghantar surat akuan kepada Istana Negara dan menamakan calon pilihan untuk dilantik sebagai Perdana Menteri yang ke-9.

Ahli-ahli Parlimen diberi masa selewat-lewatnya sehingga pukul 4 petang esok untuk mengemukakan surat akuan secara bertulis berkenaan.

Arahan berkenaan dikeluarkan menerusi notis Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun kepada semua Ahli Parlimen di atas titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Baru-baru ini, Kian Ming mencadangkan supaya semua parti politik duduk berbincang mengenai usul yang dicadangkan Muhyiddin.

Muhyiddin dalam perutusan khasnya minggu lalu memaklumkan akan berunding dengan kepimpinan parti pembangkang untuk membolehkan usul undi percaya kepada Perdana Menteri di Dewan Rakyat diluluskan.

Ia bagi membolehkan kerajaan terus berfungsi mengurus pandemik Covid-19 hingga ke satu masa sesuai. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights