‘Saya telah ikhtiarkan yang terbaik untuk anak-anak kalian’ – Radzi Jidin

DATUK Dr Radzi Jidin berkata beliau telah berusaha yang terbaik untuk murid dan pelajar sepanjang bergelar Menteri Kanan Pendidikan dalam tempoh yang mencabar susulan pandemik Covid-19.

“Kepada ibu bapa, saya telah ikhtiarkan yang terbaik untuk anak-anak kalian dalam tempoh yang penuh cabaran ini.

“Kepada guru, saya tidak pandai beretorik. Tapi yakinlah dan tanyalah rakan-rakan di kementerian, saya telah usahakan yang terbaik untuk kalian dalam tempoh yang amat sukar ini.

“Kepada anak-anak, pakcik doakan yang terbaik buat semua. Jangan lupa doakan pak cik,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Hayat kerajaan Perikatan Nasional (PN) berakhir semalam selepas Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin serta seluruh anggota Kabinet.

Sejak hari pertama di Kementerian Pendidikan (KPM), Radzi berkata beliau telah menyatakan kepada warga KPM bahawa beliau adalah seorang pekerja sepertimana mereka., cuma yang membezakan nama tugasnya iaitu, menteri.

Katanya, beliau mengabdikan diri sepenuhnya kepada urusan kementerian sepanjang 18 bulan yang lalu.

“Bagi saya, setiap detik itu amanah yang perlu digunakan sebaiknya untuk melakukan penambahbaikan kepada ekosistem pendidikan negara.

“Saya berada di kementerian bukan untuk menjadi popular. Tetapi untuk melakukan perkara yang betul mengambilkira data dan maklumat yang ada serta analisis yang dibuat.

“Sejujurnya, menguruskan kementerian dalam waktu pandemik Covid-19 bukanlah sesuatu yang mudah. Tidak ada sesiapa pun antara kami di kementerian atau di luar sana pernah melaluinya.

“Sebab itu kami amat teliti dalam membuat sebarang perancangan. Setiap keputusan dibuat berdasarkan perbincangan yang amat mendalam selepas mengambilkira pandangan pelbagai pihak,” katanya.

Radzi berkata secara peribadi beliau merasakan setiap detik di KPM dalam tempoh 18 bulan telah dimanfaatkan sepenuhnya untuk melakukan yang terbaik demi generasi pewaris negara.

Katanya lagi, banyak perkara tunjang di KPM yang berlarutan bertahun-tahun lamanya telah dapat diselesaikan dan sebahagian lagi sedang diselesaikan.

“Prinsip saya mudah. Jika niat kita ikhlas dan kita ikhtiarkan sebaiknya untuk menyelesaikan sesuatu perkara, InsyaAllah sesukar mana sekalipun penyelesaiannya, Allah akan membuka jalan untuk kita.

“Ada yang dicapai dalam masa yang singkat dan ada yang mungkin memerlukan masa yang lebih panjang.

“Sekiranya apa yang telah diikhtiar dengan terbaiknya itu tidak berjaya seperti yang dihasratkan, tentu ada hikmah disebaliknya. Apa pun, saya selalu berpesan kepada warga kementerian, Nothing beats hard work,” katanya.

Selain menyelesaikan isu yang telah lama berlarutan, beliau menambah, banyak juga penambahbaikan yang telah dan sedang dilaksanakan.

“InsyaAllah, sekiranya segala perancangan dan usaha yang ditinggalkan dapat diteruskan sebaiknya, kita boleh melonjakkan kualiti pendidikan negara ke tahap yang jauh lebih tinggi,” katanya.

Beliau juga merakamkan terima kasih kepada para guru atas bakti dan keringat yang dicurahkan dalam tempoh sukar ini.

Semua dalam kalangan kita tidak pernah melalui situasi sebegini, jadi kita sentiasa sama-sama berikhtiar untuk dapatkan penyelesaian terbaik.

“Masing-masing telah berusaha sehabis baik untuk memastikan anak-anak murid dapat terus belajar dalam keadaan selamat. Tidak kira sama ada secara bersemuka atau PdPR. Apa yang penting, murid terus mendapat akses kepada pendidikan.

“Akhir kalam, saya menginsafi saya cuma dipinjamkan oleh Allah SWT untuk mengemudi KPM dalam tempoh amat sukar dan tidak pernah dilalui oleh mana-mana Menteri Pendidikan sebelum ini.

“Saya anak kampung yang merantau ke luar negara hampir 20 tahun dan kembali ke tanah air dengan niat semata-mata untuk menabur bakti kepada ibu pertiwi,” katanya.- Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights